Apex Equity lupus Menara Apex berharga RM55 juta kepada New Era University College | DagangNews Skip to main content

Apex Equity lupus Menara Apex berharga RM55 juta kepada New Era University College

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Apex Equity Holdings Berhad mencadangkan pelupusan Menara Apex bersama tanah di Kajang berharga RM55 juta kepada New Era Edu Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat kepada New Era University College.

 

Mengambil kira perbelanjaan dan cukai berkaitan, Apex Equity menganggarkan hasil bersih sebanyak RM49.95 juta, dengan keuntungan sebenar daripada penjualan sebanyak RM39 juta.

 

Hasil yang dirasih itu akan digunakan bagi tujuan modal kerja.

 

"Cadangan pelupusan itu dijangka mengoptimumkan kunci kira-kira kumpulan dengan merealisasikan nilai aset yang kurang digunakan dan diagihkan semula ke dalam bidang yang lebih produktif seperti menyokong keperluan modal kerja kumpulan bagi penjanaan hasil.

 

"Pelupusan itu adalah atas dasar seadanya dan penjual serta pembeli rela pada harga pelupusan yang dipersetujui," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, nilai buku bersih belum diaudit hartanah itu berjumlah RM10.95 juta pada akhir Jun 2023.

 

Bangunan berusia 29 tahun itu menelan belanja kumpulan RM21.33 juta, termasuk pengubahsuaian. Ia kini kurang digunakan, dengan tiga penyewa dan beberapa pembekal telekomunikasi di atas bumbung.

 

"Cadangan pelupusan itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian jual beli (SPA)," katanya. - DagangNews.com