CIMB Group umum pembayaran dividen sebanyak RM4.59 bilion bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

CIMB Group umum pembayaran dividen sebanyak RM4.59 bilion bagi FY23

Datuk Abdul Rahman Ahmad (kiri) bersama Datuk Mohd Nasir Ahmad ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 CIMB Group yang diadakan secara maya pada 29 April 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - CIMB Group Holdings Bhd membayar dividen tahunan sebanyak 36 sen dan dividen istimewa 7 sen sesaham, menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM4.59 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).  

 

Pembayaran dividen sebanyak 36 sen sesaham untuk nisbah pembayaran sebanyak 55%, selaras dengan dasar dividen kumpulan dan Nisbah Ekuiti Biasa Tier-1 (CET 1) kekal kukuh pada paras 14.5% pada Disember 2023.

 

Kumpulan itu menyaksikan momentum positif berterusan pada FY23 didorong oleh prestasi asas yang kukuh merentas semua segmen perniagaan.

 

 

Prestasi positif itu disokong oleh pertumbuhan pendapatan operasi yang teguh dengan pinjaman yang kukuh dan pertumbuhan akaun semasa akaun simpanan (CASA), ditambah dengan peruntukan yang lebih rendah daripada pengurusan risiko dan pemulihan yang berhemat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, kumpulan itu mencapai kemajuan ketara di bawah pelan strategik Forward23+ dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran merentas kebanyakan metrik keuntungan yang ditetapkan di bawah pelan empat tahun itu.

 

Beliau berkata, memasuki tahun akhir Forward23+, tumpuan kumpulan adalah untuk meningkatkan CASA dan francais deposit dengan penekanan pada pengurusan kunci kira-kira yang berkesan untuk meningkatkan faedah bersih margin secara serantau.

 

"Kami berhasrat mengekalkan pertumbuhan pendapatan bukan faedah (NOII) melalui segmen pengurusan kekayaan serta meneruskan disiplin kos kami serta meningkatkan kualiti aset untuk mencapai sasaran 2024," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 yang dipengerusikan Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, hari ini.

 

Abdul Rahman berkata, dalam landskap semasa, pihaknya menyedari keperluan memanfaatkan teknologi terutamanya dalam platform digital termaju dan analitik data untuk memacu pemerolehan pelanggan dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

 

Beliau berkata, pelan hala tuju strategik kumpulan untuk tahun ini adalah pengukuhan daya tahan operasi, memastikan infrastruktur yang teguh dan melaksanakan pelan luar jangka yang komprehensif untuk mengurangkan potensi gangguan.

 

"Dengan menyelaraskan pelaburan teknologi dengan peningkatan daya tahan operasi, kami bercita-cita untuk mengukuhkan kelebihan daya saing, menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran dan meletakkan diri kami untuk pertumbuhan yang mampan pada 2024 dan seterusnya," katanya.

 

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, pihaknya berjaya mencapai sasaran Forward23+ dan ia mengesahkan komitmen mereka untuk menjadi bank terkemuka ASEAN.

 

Beliau berkata, tumpuan berterusan mereka adalah terhadap kecemerlangan organisasi.

 

"Untuk tahun kedua berturut-turut, kami berbangga kerana telah mencapai kuartil teratas dalam industri perbankan global dalam Penilaian Kemampanan Korporat Global S&P (CSA), mencapai sasaran Forward23+ dua tahun lebih awal daripada rancangan selanjutnya," katanya. - DagangNews.com