Firma minyak global TotalEnergies dari Perancis setuju tambah pelaburan di Malaysia - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Firma minyak global TotalEnergies dari Perancis setuju tambah pelaburan di Malaysia - PM Anwar

KUALA LUMPUR 29 April - TotalEnergies, syarikat pembekal tenaga global yang berpangkalan di Perancis menyatakan komitmen dan bersetuju untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas di Malaysia. 

 

Selain itu, syarikat berkenaan juga akan terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di platform X, di sini hari ini, Bernama melaporkan.

 

Terdahulu, beliau memenuhi jemputan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne untuk bertemu di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF). 

 

 

pmx
Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu  Patrick Pouyanne di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada 28 April 2024. 

 

 

“TotalEnergies telah bertapak sejak 1984 di Malaysia dan memiliki pelaburan dalam pelbagai sektor di Malaysia, antaranya tenaga boleh baharu, elektrik, minyak dan penyimpanan karbon.

 

“Semoga pelaburan ini dapat direalisasikan sesegera mungkin dan mencetus limpahan kemakmuran buat rakyat Malaysia, khususnya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

 

Perdana Menteri kini berada di Riyadh, Arab Saudi dalam rangka lawatan tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

 

Baru-baru ini, TotalEnergies menandatangani perjanjian dengan Sapura Upstream Assets Sdn Bhd (SUA) untuk mengambil alih 50 peratus kepentingannya dalam pengeluar dan pengendali gas bebas di Malaysia SapuraOMV Upstream Sdn (SapuraOMV) dengan nilai US$530 juta, tertakluk kepada pelarasan yang dimuktamadkan.

 

Aset utama SapuraOMV adalah 40 peratus kepentingan kendaliannya dalam blok SK408 dan 30 peratus kepentingan kendalian dalam blok SK310, kedua-duanya terletak di luar pesisir Sarawak.

 

SapuraOMV juga memegang kepentingan dalam lesen penerokaan di Malaysia, Australia, New Zealand dan Mexico, serta penemuan dibuat pada 2023 di blok 30.

 

TotalEnergies memiliki kepentingan dalam dua kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dalam fasa penerokaan dan menandatangani perjanjian pada Jun 2023 dengan Petronas dan Mitsui untuk membangunkan projek penyimpanan karbon di Asia Tenggara dan menilai beberapa tapak penyimpanan CO2 di Malay Basin. - DagangNews.com