Malaysia dalam kedudukan baik capai unjuran rasmi KDNK 4% hingga 5% - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Malaysia dalam kedudukan baik capai unjuran rasmi KDNK 4% hingga 5% - PM Anwar

Ekonomi Malaysia bertumbuh 4.2 peratus pada 1Q24. -Gambar NAMIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kerajaan optimis Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan akan berkembang pada kadar unjuran rasmi antara 4% hingga 5% bagi tahun 2024.

 

Ini setelah KDNK pada 1Q 2024 bertumbuh pada kadar 4.2%, mengatasi unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.9%, yang didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak. 

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada 1Q 2024 membuktikan bahawa dasar Kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, di sebalik kegalauan ekonomi dunia, prestasi ekonomi Malaysia kian mengukuh. 

 

"Dalam tahun pertama pentadbiran, Kerajaan Madani telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Menurut Anwar, kerajaan bertekad untuk menjayakan pelaksanaan kerangka Ekonomi Madani.

 

"Peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik boleh dilihat melalui rekod paras baharu FBM KLCI mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur-pelabur dunia kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia,” tambah Perdana Menteri.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat pertumbuhan 4.2% pada suku pertama 2024, terus didorong oleh perbelanjaan swasta

 

kdnk
Prestasi KDNK bagi negara terpilih. - Infografik DOSM

 

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, dari sudut penawaran, semua sektor melonjak dan memangkin pertumbuhan ekonomi pada 1Q 2024. 

 

Katanya, ini boleh dilihat melalui prestasi asas ekonomi yang menggalakkan antaranya momentum positif pasaran buruh, kadar inflasi rendah, IPI menokok 3.3% dan pertumbuhan dua digit nilai kerja pembinaan sebanyak 14.2%. 

 

"Akaun semasa dalam Imbangan Pembayaran mencatat lebihan sebanyak RM16.2 bilion atau 3.6% daripada Pendapatan Negara Kasar (S4 2023: 0.2%; RM0.9 bilion) yang disumbangkan oleh lebihan dalam akaun barangan serta ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

 

"Pelaburan langsung asing (FDI) bersih adalah sebanyak RM5.5 bilion (4Q 2023: RM19.6 bilion) yang khususnya dari Hong Kong, Amerika Syarikat, Jerman, Kepulauan Cayman dan Bermuda. 

 

"FDI ini disalur dalam sektor perlombongan dan kuari; sektor komunikasi dan maklumat serta aktiviti kewangan dan insurans/takaful," katanya

.

Menurut MoF, peningkatan momentum ekonomi mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik, serta diperhebat lagi dengan dasar-dasar jitu Kerajaan Madani.

 

Jelasnya, Kerangka Ekonomi MADANI, yang memeta strategi ampuh untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia serta mengenal pasti industri pertumbuhan baharu, telah mula mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara. 

 

"Pertumbuhan ini turut dipacu oleh langkah-langkah ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan MADANI Kedua (2024) serta tekad Kerajaan untuk membawa pendekatan pengurusan kewangan yang berhemat di samping terus memastikan kebajikan golongan rentan kekal terpelihara.

 

"Sebagai tambahan, pelaksanaan strategi dan langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, serta inisiatif-inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 kekal menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri bernilai tambah tinggi, sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang meningkatkan kualiti hidup rakyat," ujar MoF.

 

Melangkah ke hadapan, kata Kementerian Kewangan, usaha akan dipergiat bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta melonjakkan produktiviti. 

 

"Usaha ini bertujuan untuk memastikan dasar propembangunan ekonomi dilaksanakan seperti dirancang bagi mencapai aspirasi negara," jelasnya.- DagangNews.com