Rangkaian 4G Malaysia masih ketinggalan, jangan sampai terlepas raih peluang daripada 5G | DagangNews Skip to main content

Rangkaian 4G Malaysia masih ketinggalan, jangan sampai terlepas raih peluang daripada 5G

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Feb - Malaysia perlu menambah baik rangkaian 4G dan pada masa sama memastikan pelancaran 5G yang lancar jika mahu merealisasikan manfaat sebenar daripada nilai ekonomi. 

 

Dalam laporan tematik Kenanga Research, ia mendapati walaupun selepas 8 tahun 4G dilancarkan di negara ini, kadar kelajuan muat turun masih lagi 10 kali lebih perlahan berbanding negara seperti Korea Selatan. 

 

Malah, dalam kalangan negara jiran serantau pun, Malaysia berada dalam kedudukan paling teruk berbanding Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia. 

 

Secara dasarnya, syarikat telekomunikasi Malaysia mula memperkenalkan 4G pada 2013, hanya setahun selepas Korea Selatan melancarkan rangkaian 4G mereka di seluruh negara.

 

 

5G
Rangkaian 5G mampu menangani kapasiti data yang lebih tinggi berbanding 4G dan lebih mudah digunakan.

 

 

Tanpa mengabaikan hakikat bahawa Malaysia masih mempunyai ruang yang luas untuk menambah baik rangkaian 4G sedia ada, tetapi negara juga tidak mampu untuk terus ketinggalan apabila melibatkan pelaksanaan 5G.

 

"Rangkaian 5G mampu menangani kapasiti data yang lebih tinggi berbanding 4G dan lebih mudah digunakan berbanding meletakkan kabel gentian optik di bawah tanah, terutama di kawasan luar bandar. 

 

"Ini bermakna kerajaan akan dapat mencapai matlamatnya di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan lebih pantas.

 

"Oleh itu, mempunyai semua spektrum yang disambungkan kepada internet adalah penting. Apa yang lebih penting tentang 5G ialah perkhidmatan (sama ada baharu atau dinaiktaraf) yang akan wujud dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang yang kemudiannya akan merealisasikan nilai ekonomi sebenar 5G, dan jika peluang ini terlepas, ia akan memberi kesan kepada Malaysia," jelasnya.

 

Baca : Gabungan 4 telco cadang guna model DWN bagi pelancaran 5G, tunggu keputusan kerajaan

 

Pandangan di dalam laporan tematik itu dikongsi hasil daripada siri webinar anjuran firma itu bertajuk '5G Technology & Applications – An Overview' bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tekmark Corp., Lawrence Liu baru-baru ini mengenai pandangan beliau terhadap perkembangan 5G di seluruh dunia dan peluang yang boleh dimanfaatkan daripada teknologi tersebut.

 

Berdasarkan pandangannya, beliau percaya perniagaan masih di peringkat awal untuk meneroka potensi 5G dengan memahami kepentingan dalam mengubah dan membawa perubahan kepada model perniagaan sedia ada. 

 

"Kami berkongsi pandangannya, kerana kami memahami bahawa syarikat telekomunikasi dan perniagaan masih cuba memahami potensi penggunaan dan menguji keupayaan 5G.

 

"Tetapi pada pandangan kami, sektor utama yang akan menggunakan perkhidmatan 5G ini ialah pelabuhan dan logistik, pembuatan serta minyak dan gas (O&G)," menurut Kenanga Research. 

 

Di Malaysia, katanya, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) iaitu Digi.com Bhd., Maxis Bhd. dan Celcom Axiata Bhd. masih lagi dalam perbincangan dengan kerajaan berhubung pelancaran 5G
 

Sebaik sahaja perniagaan mula mengguna pakai perkhidmatan 5G, MNO akan mendapat manfaat daripada aliran hasil baharu dalam penyediaan sambungan 5G, yang mana ia sedang melabur untuk membangunkannya.

 

"Namun, disebabkan ketidaktentuan dalam pelancaran 5G, berlaku kemungkinan risiko penurunan kepada pendapatan MNO jika model rangkaian borong (SWN) dilaksanakan dan perniagaan pula lambat mengguna pakai perkhidmatan 5G, justeru, kami kurang teruja dengan prospek MNO dalam masa jangka terdekat," katanya.

 

 

inari
Inari Amerton antara syarikat yang akan mendapat kelebihan daripada pelaksanaan 5G di Malaysia.

 

 

Bagaimanapun, pasaran Malaysia mempunyai pemain dalam ruang semikonduktor yang telah mendapat manfaat daripada pelancaran infrastruktur 5G dan dijangka terus menyaksikan pertumbuhan kukuh pada tahun-tahun akan datang.

 

Firma itu mengenalpasti Inari Amerton Bhd. sebagai antara penerima manfaat utama daripada pelaksanaan 5G dalam peranti akhir, dengan memberi saranan 'outperform' ke atas penarafan sahamnya dengan harga sasaran (TP) RM4.60.   

 

Di samping itu, Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) yang diberi saranan 'outperform' dengan TPRM56.20 juga meraih manfaat sebagai proksi utama dalam trend kenderaan elektrik (EV) dan pemanduan autonomi yang semakin berkembang.

 

Menurut Kenanga Research, bagi membolehkan Malaysia mengekalkan kelebihannya dalam kalangan negara jiran dalam ruang pembuatan, ia perlu mendigitalkan proses pembuatan dengan mengguna pakai industri 4.0 di mana robotik dan automasi memainkan peranan penting. 

 

"Ini hanya boleh dicapai dengan adanya sambungan 5G disebabkan oleh jumlah data dan komunikasi yang diperlukan untuk menjalankan operasi kilang pintar," jelasnya. - DagangNews.com