RHB semak turun unjuran pendapatan FY24 Unisem sebanyak 10.9% kesan margin lebih rendah | DagangNews Skip to main content

RHB semak turun unjuran pendapatan FY24 Unisem sebanyak 10.9% kesan margin lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan FY24 Unisem (M) Bhd sebanyak 10.9% kesan andaian margin yang lebih rendah.

 

Katanya, walaupun pemulihan pendapatan daripada suku tahun ke suku tahun dan tahun ke tahun adalah baik tetapi ia merupakan separuh pertama yang lemah mengikut musim bagi sektor semikonduktor. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu didorong oleh pelbagai program dan pelanggan baharu serta pemulihan dalam pasaran elektronik pengguna China.

 

"Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) adalah mendatar berbanding suku pertama 2023 iaitu 19.1% tetapi merosot 24.6% pada suku keempat tahun lalu disebabkan jualan yang lebih rendah dan gaji yang lebih tinggi.

 

"Jumlah pekerja meningkat untuk dua suku berturut-turut kepada 6,067 individu, menunjukkan kadar penggunaan yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) adalah RM8.46 juta, lebih rendah berbanding RM9.86 juta bagi suku sama tahun lalu, walaupun pendapatan suku tahunnya meningkat 3% kepada RM364.77 juta berbanding RM354.05 juta

 

Hasil yang lebih tinggi adalah disebabkan jumlah jualan yang lebih tinggi, serta peningkatan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

 

RHB Investment berkata, pemasangan peralatan di kilang Chengdu bagi fasa 3 sedang berlangsung manakala kilang di Gopeng berada di landasan untuk mencapai Sijil Penyiapan Praktikal pada 30 April 2024 (dengan kelayakan dalaman mungkin bermula pada Mei ini).

 

Katanya, keadaan itu membuka jalan untuk mendapat manfaat daripada kitaran naik semikonduktor bermula separuh kedua 2024 dan seterusnya.

 

"Perbelanjaan modal untuk mesin akan diteliti berdasarkan pemuatan dan komitmen pelanggan dalam usaha kumpulan untuk menjalankan perniagaan baharu bagi mengisi ruang baharu yang tersedia," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.40 sesaham. - DagangNews.com