Tunku Iskandar muncul sebagai pemegang saham utama Two Offshore Marine | DagangNews Skip to main content

Tunku Iskandar muncul sebagai pemegang saham utama Two Offshore Marine

KUALA LUMPUR 29 April - Tunku Datuk Seri (Dr) Iskandar Tunku Abdullah muncul sebagai pemegang saham utama Two Offshore Marine Sdn Bhd, sebuah penyedia perkhidmatan dan penyelesaian luar pesisir dalam industri minyak dan gas (O&G) Asia Tenggara.

 

Memegang kepentingan yang besar dalam Two Offshore atas kapasiti peribadinya, Tunku Iskandar, yang juga pengerusi eksekutif Kumpulan Melewar, akan mengambil jawatan penasihat untuk hala tuju strategik syarikat bergerak ke hadapan.

 

Ahli lembaga Two Offshore, Ku Mohd Ashraff Ku Yaacob berkata Tunku Iskandar akan membawa nilai yang besar kepada syarikat dalam perkongsian strategik ini dan membolehkan syarikat untuk memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan rangkaian luas beliau dalam landskap korporat Malaysia dan seterusnya.

 

“Saya sangat teruja dengan kehadiran Tunku Iskandar sebagai pemegang saham utama.

 

"Perkongsian ini akan meningkatkan profil kami, memperkasakan kami untuk meneruskan pertumbuhan strategi yang agresif, dan membolehkan kami mencapai objektif strategik dan operasi kami dalam jangka masa yang diunjurkan,” katanya, Bernama melaporkan.

 

 

Two Offshore Marine Sdn Bhd

 

 

Dengan sokongan yang dipertingkatkan ini, Two Offshore dijangka merebut peluang dan memacu pertumbuhan dalam pasaran O&G yang menguntungkan di seluruh rantau ASEAN dan seterusnya.

 

Pada masa ini, Two Offshore menawarkan rangkaian logistik dan perkhidmatan kejuruteraan marin luar pesisir dengan tumpuan kepada sektor O&G huluan di Malaysia serta Asia Tenggara. - DagangNews.com