UEM Sunrise Bhd kembali catat untung FY22 sebanyak RM80.54 juta | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise Bhd kembali catat untung FY22 sebanyak RM80.54 juta

KUALA LUMPUR 24 Feb - UEM Sunrise Bhd kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) selepas dua tahun kerugian, didorong oleh pemulihan pada suku terakhir.

 

Untung bersih pemaju hartanah itu pada suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22) adalah sebanyak RM20.46 juta berbanding kerugian bersih RM150.98 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih rendah dan pendapatan lain yang lebih tinggi. 

 

Ini berlaku meskipun penurunan pendapatan pada suku tahunan sebanyak 28.41% kepada RM336.22 juta daripada RM469.63 juta pada 4QFY21 disebabkan pendapatan yang rendah sebanyak RM42 juta daripada penjualan plot perindustrian dalam Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan (SiLC) Fasa 3 di Iskandar Puteri, Johor berbanding RM192 juta sebelum ini.

 

Bagi tahun kewangan penuh (FY22), UEM Sunrise mencatat keuntungan bersih sebanyak RM80.54 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM213.05 juta pada FY21, seiring dengan pendapatan yang lebih tinggi serta penambahbaikan pendapatan lain, mengurangkan perbelanjaan operasi dan hasil yang lebih baik daripada usaha sama dan rakan sekutu.

 

Kali terakhir kumpulan itu mencatatkan keuntungan adalah pada FY19 sebanyak RM221.6 juta, sebelum tergelincir dengan kerugian bersih RM277.28 juta (FY20) dan RM213.05 juta (FY21).
 

Pendapatan setahun penuh meningkat 24.39% kepada RM1.47 bilion daripada RM1.18 bilion, di mana kira-kira 72% dijana daripada aktiviti pembangunan hartanah, penjualan tanah dan pelupusan aset (21%) dan pelaburan hartanah dan lain-lain (7%).

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen 0.5 sen sesaham berjumlah 25.3 juta yang akan dibayar pada 22 Mei.


UEM Sunrise mengurangkan inventori sebanyak 49% kepada RM203 juta pada 31 Disember 2022 daripada RM396.9 juta setahun sebelumnya. 

 

Baki tunainya kekal kukuh pada RM1.02 bilion manakala penggearan bersihnya kekal sederhana pada 48%, setakat 31 Disember 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata keputusan FY22 adalah bukti keberkesanan inisiatif yang diambil di bawah Triage, fasa pertama pelan pemulihan strategik serampang tiga mata.

 

"Antara objektif di bawah Triage adalah untuk pemulihan dan menambah baik kedudukan kumpulan untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

 

“Kami telah berjaya menjana pendapatan inventori kami, meningkatkan aktiviti pembangunan hartanah kami dan menambah baik aliran tunai kami. 

 

Kami juga telah menyelesaikan sebahagian besar penjualan SiLC fasa 3 dan melupuskan beberapa tanah bukan strategik," katanya dalam kenyataan.

 

Berikutan momentum positif FY22, kumpulan itu merancang untuk melancarkan projek bernilai RM2.5 bilion pada FY23 dengan sasaran jualan RM1.5 bilion untuk tahun ini.

 

Melangkah ke hadapan, Sufian berkata sasaran kumpulan itu adalah mengukuhkan perniagaan terasnya, memastikan rancangan pelancaran utuh dan mempunyai kunci kira-kira yang lebih sihat.

 

Kumpulan itu optimis dengan prestasinya pada FY23 memandangkan kedudukan kewangannya yang kukuh dengan penggearan bersih sebanyak 0.48 kali dan baki tunai RM1.02 bilion pada 31 Disember 2022.

 

Kumpulan itu berkata prestasinya tahun ini juga akan disokong oleh transaksi penjualan tanah yang dimeterai pada beberapa tahun sebelumnya, termasuk penjualan baki tanah yang dimilikinya di Tapah, Perak seluas 1,777 hektar dengan harga RM75.5 juta dan penjualan 67.7 hektar di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri dengan harga RM85.6 juta.

 

“Kedua-dua urus niaga itu telah dimeterai pada Disember 2022 dan dijangka tidak bersyarat pada tahun ini, menyumbang kepada keuntungan tahun ini,” katanya.

 

UEM Sunrise mempunyai jualan belum dibilkan sebanyak RM1.8 bilion yang sebahagian besarnya bakal diiktiraf dalam tempoh 18 hingga 36 bulan akan datang. -DagangNews.com