UPM-MCC diiktiraf Pihak Berkuasa Depositari Kebangsaan atas Koleksi Kultur Mikrob | DagangNews Skip to main content

UPM-MCC diiktiraf Pihak Berkuasa Depositari Kebangsaan atas Koleksi Kultur Mikrob

Dato’ Prof. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (tengah) menerima Sijil Pihak Berkuasa Depositari Kebangsaan (NDA) yang disampaikan oleh oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada 26 April 2024.
oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 April - Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima pengiktirafan Pihak Berkuasa Depositari Kebangsaan atau National Depositary Authority (NDA) atas Koleksi Kultur Mikrob Universiti Putra Malaysia (UPM-MCC) pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 pada 26 April lalu.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata penghargaan ini adalah satu tanggungjawab besar bagi universiti dalam memperkasakan peranan UPM-MCC di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

“Pengiktirafan ini menunjukkan kehebatan IBS UPM sebagai Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICOE).

 

"Dan harapan saya universiti mampu melaksana dengan baik dan juga mengubah senario negara dalam memastikan sel-sel kultur terpelihara untuk kegunaan masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

 

Dato’ Prof. Ahmad Farhan Mohd Sadullah
                  Dato’ Prof. Ahmad Farhan Mohd Sadullah

 

 

Pengarah IBS, UPM, Prof. Dr. Zunita Zakaria berkata UPM-MCC pusat penyimpanan koleksi kultur mikrob yang pertama di Malaysia yang akan menerajui penyimpanan strain mikroorganisma sebelum pihak pemohon membuat permohonan paten berkaitan mikroorganisma kepada MyIPO.

 

“Dengan adanya status NDA ini, UPM-MCC akan dapat menyediakan perkhidmatan penyimpanan bakteria di dalam kategori Patent Deposit bagi memenuhi salah satu syarat pemfailan paten berkaitan mikroorganisma di Malaysia,” katanya.

 

Melalui status NDA ini ia memperkasakan lagi peranan UPM-MCC sebagai sebuah pusat penyimpanan koleksi kultur utama di UPM dan Malaysia yang mampu meningkatkan kualiti penyelidikan.

 

 

 Koleksi Kultur Mikrob Universiti Putra Malaysia

 

 

Dalam pada itu, UPM-MCC turut diwartakan secara rasmi oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai NDA yang pertama di Malaysia pada 27 Mac 2024.

 

Koleksi UPM-MCC atau sebelum ini dikenali sebagai Unit Koleksi Kultur Mikrob (UNiCC) merupakan salah satu unit strategik di bawah IBS, UPM yang melaksanakan perkhidmatan bagi menyokong aktiviti penyelidikan. - DagangNews.com