Meta Bright dapat kemudahan pembiayaan RM28 juta daripada AmBank | DagangNews Skip to main content

Meta Bright dapat kemudahan pembiayaan RM28 juta daripada AmBank

Kemudahan pembiayaan kepada Meta Bright Sdn Bhd itu termasuk pinjaman berjangka berjumlah RM25.5 juta. - Gambar Optimumtech
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 April - Meta Bright Group Berhad (MBGB) memperoleh kemudahan pembiayaan berjumlah RM28 juta daripada AmBank (M) Berhad bagi meningkatkan keupayaannya dalam perniagaan pajakan peralatan lombong di Australia.

 

Kemudahan pembiayaan kepada Meta Bright Sdn Bhd itu termasuk pinjaman berjangka berjumlah RM25.5 juta, diperuntukkan untuk pembelian loji dan jentera bagi meningkatkan keupayaan operasi.

 

Katanya, pinjaman berjangka kedua pula sebanyak RM3 juta yang direka untuk membiayai premium insurans hayat untuk pengarah syarikat, melindungi tadbir urus korporat dan kesinambungan kepimpinan.

 

"Dana itu akan disalurkan bagi membeli peralatan bernilai tinggi untuk Meta Bright Australia Pty Ltd, yang baru-baru ini menandatangani kontrak pajakan ketiga dengan Mt Cuthbert Resources Pty Ltd (MCR).

 

"Ia satu langkah yang ditetapkan untuk mengukuhkan kehadiran Meta Bright di pasaran antarabangsa dan memastikan aliran pendapatan berulang yang tetap, dianggarkan AUD222,950 (kira-kira RM691,657.78) sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pembiayaan itu termasuk kemudahan kontrak pertukaran asing tanpa komitmen untuk memudahkan transaksi mata wang antarabangsa yang cekap sekali gus menyokong operasi global Meta Bright.

 

"Pembiayaan ini meluaskan operasi perniagaan Meta Bright dan mengukuhkan hubungannya dengan bank," kata syarikat itu.

 

Meta Bright pada minggu lalu memaklumkan telah menandatangani perjanjian pajakan peralatan bernilaai RM24.8 juta bersama sebuah syarikat perlombongan tembaga Australia, Mt Cuthbert Resources.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang berkata, mendapatkan kemudahan ini daripada AmBank dalam tempoh yang singkat bukan sahaja satu peristiwa penting untuk Meta Bright tetapi juga pengesahan bank kepada model perniagaan dan hala tuju strategik. 

 

Katanya, perkongsian kewangan ini adalah penting kerana ia menyokong fasa pertumbuhan syarikat yang seterusnya dan mengukuhkan hubungan dengan AmBank, menetapkan asas yang kukuh untuk peluang kerjasama masa depan.

 

"Melalui sokongan kewangan strategik ini, Meta Bright bersedia untuk meningkatkan kapasiti dengan ketara untuk mengurus projek berskala besar dan meningkatkan penawarannya dalam pasaran pajakan peralatan perlombongan yang sangat kompetitif. 

 

"Kami memberi tumpuan terutamanya kepada operasi kami di Australia, di mana kami melihat potensi besar disebabkan kepada pertumbuhan kukuh sektor perlombongan," tambahnya. - DagangNews.com