Gergasi telekomunikasi antarabangsa sanggup bayar harga tanah mahal bina pusat data - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Gergasi telekomunikasi antarabangsa sanggup bayar harga tanah mahal bina pusat data - RHB Investment

Tanah 16 hektar milik dua unit AME Elite di selatan Johor dijual pada harga RM138 kaki persegi untuk pembinaan pusat data. - Gambar AME Elite
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Mei - Harga tanah yang tinggi dibayar untuk pembinaan pusat data di Johor menunjukkan firma gergasi teknologi telekomunikasi asing bersungguh-sungguh untuk memperluas kehadiran mereka di rantau Asia Tenggara.

 

RHB Investment Bank berkata, ini seperti penjualan tanah AME Elite Consortium Bhd di i-TechValley, Iskandar Puteri kepada Digital Hyperspace Malaysia bernilai RM138 sekaki persegi yang merupakan rekod tertinggi kerana pelupusan adalah pada kadar asas.

 

Malah, katanya, permintaan tanah untuk pusat data masih kukuh dengan sudah ada firma yang mula mencari kawasan yang sesuai di Tebrau dan Ulu Tiram pula.

 

 

"Ini susulan kluster pusat data sedia ada di Nusajaya, Sedenak dan Kulai sudah pun bermula," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Anak syarikat AME Elite jual 16 hektar tanah di Iskandar Puteri bernilai hampir RM210 juta

 

Menurut RHB Investment, permintaan untuk tanah perindustrian dan pembangunan akan lebih kukuh berikutan pelaburan langsung asing dan domestik yang lebih tinggi dengan pengumuman terperinci Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak lama lagi.

 

Justeru katanya, penambahan bank tanah baharu bagi AME Elite adalah penting dengan pihak pengurusan difahamkan telah memulakan rundingan bagi tujuan itu.


   
"Jika urus niaga tanah strategik menjadi kenyataan, ini sepatutnya menjadi pemangkin penarafan semula seterusnya untuk saham memandangkan potensi peningkatan kepada anggaran RNAV kami.

 

"Penambahan tanah baharu adalah penting kerana AME sedang mengurangkan simpanan tanahnya di Iskandar Malaysia memandangkan momentum perjanjian (penjualan) yang kukuh," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maybank IB senaraikan 6 pemangkin mengapa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura akan berjaya

 

Mengenai penjualan tanah kepada sebuah DHM, unit firma Hong Kong semalam, RHB Investment berkata, pelupusan itu yang dijangka selesai pada 4QFY25 akan menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM85.1 juta. 

 

"Ini hampir menggandakan ramalan pendapatan awal kami untuk FY25. Berdasarkan ramalan keuntungan baharu kami dan pembayaran dividen kira-kira 30%, DPS FY25F kami kini dinaikkan kepada 8 sen," katanya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, DHM ialah anak syarikat milik penuh Quantum DC (HK) Ltd. yang terlibat dalam menyediakan infrastruktur untuk pengehosan dan aktiviti pemprosesan data.

 

"Memandangkan saiz tanah (34.9 ekar), kami percaya kapasiti pusat data ini mungkin agak besar," ujarnya yang mengekalkan saranan Beli dengan Harga asaran (TP) baharu RM2.15 sesaham. - DagangNews.com