Kawan Renergy sasar kumpul RM33 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kawan Renergy sasar kumpul RM33 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Lim Thou Lai (dua dari kiri) bersama Pengerusi Kawan Renergy, Dr Chuah Chaw Teo (tengah) ketika pelancaran prospektus syarikat itu pada 29 April 2024. - Gambar/The Edge

KUALA LUMPUR 29 April - Penyedia rumusan kejuruteraan, Kawan Renergy Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Mei 2024 menyasarkan untuk mengumpul RM33 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Pengarah Urusannya, Lim Thou Lai berkata, kumpulan itu berhasrat menggunakan hasil tersebut untuk memenuhi permintaan peralataan proses perindustrian.

 

"Kami bercadang memperuntukkan RM15 juta (45.5%) daripada hasil IPO bagi menambah modal kerja untuk projek loji penjanaan yang sedang berjalan dengan jangkaan pertumbuhan dalam skala perniagaan kami.

 

"Bakinya akan digunakan untuk membeli jentera tambahan bernilai RM500,000 (1.5%), RM2.5 juta (7.6%) bagi menambahbaik pengeluaran loji Bercham, loji janakuasa biogas tapak pelupusan di Perak dan RM5 juta (15.1%) akan dilaburkan untuk membina loji kuasa biojisim dua megawatt (MW) baharu untuk meningkatkan penjanaan kuasa.

 

"Baki RM10 juta atau 30.3% akan diperuntukkan untuk bayaran balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian," katanya selepas pelancaran prospektus syarikat itu, hari ini, lapor Bernama.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan Renergy meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Selepas penyenaraian, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM165 juta, berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 550 juta saham dan harga IPO sebanyak 30 sen sesaham.

 

Pelaksanaan IPO itu merangkumi terbitan awam 110 juta saham biasa baharu, mewakili 20% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 34.5 juta saham sedia ada, atau 6.3% daripada modal saham yang diperbesarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Menurut prospektus itu, daripada 110 juta saham baharu, 27.5 juta akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian.

 

Sejumlah 19.3 juta saham lain diperuntukkan untuk pengarah dan pekerja yang layak serta mereka yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan (peruntukan borang merah jambu), manakala baki 63.2 juta saham dikhaskan untuk pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan. dan Industri (MITI).

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.

 

Permohonan IPO bermula hari ini dan akan ditutup pada 5 petang pada 14 Mei.- DagangNews.com