Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah | DagangNews Skip to main content

Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta rasuah bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Berdasarkan pertuduhan yang dibaca, beliau didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10% daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Permintaan yang dibuat itu adalah sebagai upah bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang itu.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011 semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Lim ditahan oleh SPRM kira-kira pukul 9.30 malam semalam setelah memberi keterangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, selain pendakwaan hari ini, Lim juga akan didakwa pada 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua pertuduhan di mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu berkaitan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Lim juga akan didakwa untuk kes yang berasingan pada hari Selasa (11 Ogos) di bawah Seksyen 23 Akta SPRM di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang. - DagangNews.com