Osaka jadi destinasi baharu promosikan Tahun Melawat Perak 2024 | DagangNews Skip to main content

Osaka jadi destinasi baharu promosikan Tahun Melawat Perak 2024

Saarani (tengah) bersama Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee (kiri) semasa melancarkan buku pelancongan Perak dalam bahasa Jepun di Osaka.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 29 April - Inisiatif kerajaan Perak memperluaskan lagi potensi pelancongan negeri ini dilakukan apabila mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 di Osaka, Jepun.

 

Usaha ini dimainkan Tourism Perak yang mengadakan Seminar Pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2024 di bandar tersebut.

 

Bandar itu menjadi destinasi Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad semasa program Misi Pelaburan Menteri Besar Perak ke Jepun baru-baru ini.

 

Objektifnya adalah untuk meneroka pasaran baharu di Osaka yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak 19 juta orang.

 

Jepun
Saarani menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta semasa Seminar Pelancongan Perak di Osaka.

 

Menurut Saarani, pihaknya merasa teruja dapat mempromosikan keistimewaan negeri Perak yang kaya dengan produk ekopelancongan, warisan dan budaya serta gastronomi. 

 

Antara yang berpotensi menarik minat pelancong Jepun seperti Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Tasik Cermin, Royal Belum, Lenggong Geopark dan Kinta Geopark.

 

“Seramai 70 peserta telah menghadiri seminar ini yang terdiri daripada pemain industri pelancongan dan media di Osaka.

 

“Seminar ini turut mendapat kerjasama Tourism Malaysia Osaka yang telah membantu menyelaraskan keseluruhan program,’ ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Jepun

 

Jepun

 

Semasa seminar itu beliau juga telah melancarkan buku pelancongan Perak yang mengandungi 68 muka surat informasi berkenaan produk pelancongan negeri dalam bahasa Jepun.

 

Turut dilancarkan ialah video rasmi Tahun Melawat Perak 2024 berdurasi 4.43 minit dalam versi bahasa Jepun. 

 

Kata Saarani, bahan promosi ini akan diedarkan ke semua lokasi yang bersesuaian di sekitar Jepun seperti Pejabat Tourism Malaysia Osaka, MIDA Osaka dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai.

 

“Lokasi lain seperti hotel dan resort serta pejabat agensi pelancongan di sekitar Osaka.

 

“Tourism Perak juga telah menjalinkan hubungan strategik bersama sebuah syarikat multinasional Jepun iaitu Canon yang merupakan pakar dalam bidang penghasilan barangan pengimejan dan optik bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Perak 2024,” ujarnya.

 

Usaha ini diharap dapat mencapai hasrat dan objektif seiring dengan sasaran kerajaan negeri menarik 8 juta pelancong ke Perak tahun ini. - DagangNews.com