PTT Synergy raih kontrak pembinaan jambatan, jalan bernilai RM299 juta di Kelantan | DagangNews Skip to main content

PTT Synergy raih kontrak pembinaan jambatan, jalan bernilai RM299 juta di Kelantan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - PTT Synergy Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM299 juta untuk projek pembinaan jambatan Palekbang-Kota Bharu dan jalan penghubung di Jajahan Tumpat dan Jajahan Kota Bharu, Kelantan.

 

Unit milik penuh PTT Synergy, Pembinaan Tetap Teguh Sdn Bhd meraih kontrak tersebut daripada Prima Wahyu Sdn Bhd pada 21 Mac 2024.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan pembinaan dan pelaburan hartanah bersepadu itu berkata, kerja-kerja akan bermula pada 25 Mac ini dan siap pada 15 September 2026.

 

PTT Synergy berkata, Pembinaan Tetap Teguh memeterai perjanjian kerjasama dengan Prima Wahyu untuk meneroka kerjasama untuk mendapatkan kerja pembinaan di wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 

Menurutnya, Prima Wahyu ialah syarikat pembinaan yang mana 67% dimiliki oleh Noruzzaman Che Idris dan 33% dimiliki oleh Wan Afandi Wan Ahmed. 

 

Ia juga menyediakan bekalan borong dan runcit untuk pelbagai perkakasan dan bahan binaan.

 

"Kerjasama itu dilihat sebagai pakar sinergi, yang mana kedua-dua pihak menyumbang dalam bidang kepakaran masing-masing untuk kerjasama itu.

 

"Selain itu, kerjasama ini membolehkan Pembinaan Tetap Teguh meluaskan lagi kehadiran dan peluang perniagaannya di wilayah Pantai Timur," katanya. - DagangNews.com