Syarikat berstatus PN17, Pharmaniaga meterai perjanjian konsesi 7 tahun dengan KKM, nilai tidak didedahkan | DagangNews Skip to main content

Syarikat berstatus PN17, Pharmaniaga meterai perjanjian konsesi 7 tahun dengan KKM, nilai tidak didedahkan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Jan - Pharmaniaga Berhad yang disenaraikan di bawah kategori Nota Amalan 17 (PN17) memeterai perjanjian konsesi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perkhidmatan bekalan perubatan selama tempoh tujuh tahun.

 

Dalam makluman kepada bursa, Pharmaniaga berkata, perjanjian antara KKM dan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB) itu berkuat kuasa secara retrospektif dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2030, tertakluk kepada penamatan lebih awal.

 

Di bawah perjanjian itu, PLSB diberi hak dan kuasa untuk melaksanakan perolehan, penyimpanan, pembekalan dan penghantaran produk perubatan kepada kemudahan kesihatan awam di bawah KKM.

 

PLSB juga diberi kuasa untuk menjalankan perkhidmatan Sistem Maklumat Farmasi dan membina atau memperoleh empat gudang baharu untuk penyimpanan produk perubatan.

 

Nilai kontrak tidak didedahkan kerana syarikat farmaseutikal itu menyatakan bahawa maklumat di bawah perjanjian berkenaan perlu dirahsiakan sepenuhnya.

 

Bagaimanapun dalam pemakluman itu, Pharmaniaga berkata, perjanjian konsesi itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan pendapatan sesaham untuk tujuh tahun akan datang.

 

PLSB pada mulanya telah diberikan perjanjian konsesi oleh KKM pada 1994 untuk membekalkan kemudahan kesihatan awam dengan ubat-ubatan dan bekalan perubatan selama 25 tahun.

 

Kontrak itu kemudiannya diberi lanjutan lima tahun untuk tempoh interim selama 25 bulan, dari 1 Disember 2019 hingga 31 Disember 2021. 

 

Sambungan enam bulan lagi diberikan dari akhir Disember 2022 hingga penghujung Jun 2023 sementara menunggu tempoh memuktamadkan perjanjian konsesi baharu.

 

Pada 12 Julai tahun lalu, Pharmaniaga mengumumkan KKM telah mengeluarkan surat kepada PLSB untuk perjanjian konsesi tujuh tahun bagi menyediakan perkhidmatan logistik bekalan perubatan kepada kementerian.

 

Pharmaniaga jatuh ke status PN17 selepas mencatatkan ekuiti negatif berikutan kerugian bersih suku tahunan terbesarnya sebanyak RM664.39 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22), daripada keuntungan bersih RM85.47 juta pada 4QFY21, manakala pendapatan bertambah baik 21.2% kepada RM862.72 juta.

 

Pharmaniaga dimiliki 52% oleh Boustead Holdings Berhad, 59.42% ekuiti dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mempunyai kepentingan langsung 8.6% dalam Pharmaniaga.- DagangNews.com