UEM Sunrise tidak bercadang naikkan harga rumah setakat ini | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise tidak bercadang naikkan harga rumah setakat ini

Terdapat corak dari segi harga tender yang masuk dan mereka berada dalam "julat toleransi" sekarang.

KUALA LUMPUR 26 Mei - UEM Sunrise Bhd tidak bercadang untuk menaikkan harga produk hartanahnya buat masa ini walaupun harga bahan pembinaan meningkat.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah berkata, walaupun terdapat kenaikan harga bahan, terdapat corak dari segi harga tender yang masuk dan mereka berada dalam "julat toleransi" sekarang.

 

“Memandangkan dinamik ekonomi dan apa yang berlaku di seluruh dunia pada ketika ini, harga adalah sesuatu yang sentiasa kami pantau terutamanya menjelang penghujung separuh masa pertama.

 

"Walaupun kami menyemak semula penelitian kami daripada segi impak harga, tiada rancangan untuk kami menaikkan harga produk kami pada ketika ini," katanya kepada pemberita semasa taklimat media maya mengenai keputusan 1Q syarikat itu.

 

Pendekatan ini membolehkan rakan kongsi perniagaan, pembekal, vendor dan kontraktor syarikat menanggung risiko yang besar, tambah beliau.

 

"Tumpuan yang kami usahakan dari segi mengurus kenaikan kos adalah untuk mendapatkan kepastian kos yang lebih besar yang akan mengurangkan risiko turun naik ke atas kos pembinaan dan bukannya bertujuan untuk penjimatan kos."

 

Beliau berkata, kos pembinaan yang tinggi tidak akan memberi kesan kepada prestasi syarikat tahun ini.

 

"Bagaimanapun, kita akan tahu bahawa bergerak ke hadapan untuk beberapa tahun akan datang, akan ada kesan jangka panjang daripada peningkatan kos ini," katanya.

 

 

Suffian Abdullah
                                                                                              Sufian Abdullah

 

 

UEM Sunrise kembali memperoleh keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (1Q 2022) dengan keuntungan bersih RM19.02 juta daripada kerugian bersih RM4.32 juta pada 1Q 2021.

 

Hasil bagi suku itu mencatatkan RM416.45 juta, meningkat 64.8 peratus tahun ke tahun (YoY) daripada RM252.69 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Peningkatan itu didorong oleh bil kemajuan projek yang lebih tinggi dan kemajuan pembinaan daripada pembangunan tempatan, terutamanya Residensi Solaris Parq di Dutamas, Aspira ParkHomes di Gerbang Nusajaya, Serene Heights Bangi, Senadi Hills di tengah Iskandar Puteri, Residensi Astrea di Mont Kiara serta jualan yang lebih tinggi Estuari Gardens di Puteri Harbour.

 

Ini adalah tambahan kepada pengiktirafan hasil penjualan 19 plot perindustrian di Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan pada Disember 2020.

 

Aktiviti pembangunan hartanah mencatatkan jualan RM110 juta pada suku semasa di mana 64 peratus daripadanya disumbangkan oleh projek di wilayah tengah terutama Serene Heights Bangi, KAIA Heights di Equine Park, Seri Kembangan dan Residensi Allevia di Mont Kiara.

 

Baki 36 peratus datang terutamanya dari Estuari Gardens, Aspira LakeHomes di Gerbang Nusajaya dan Senadi Hills. Jualan belum dibil UEM Sunrise setakat 31 Mac tahun ini berjumlah RM2.2 bilion.

 

Sufian berkata syarikat itu mengalami kekurangan tenaga kerja dan kesannya dapat dilihat melalui kelewatan projek tertentu. Walau bagaimanapun, kelewatan masih boleh diuruskan.

 

“Kebanyakan kontraktor yang kami ada di tapak telah memberikan komitmen mereka dan kami akan mengatasi masalah ini pada penghujung Jun,” katanya.

 

Syarikat itu mengekalkan sasaran jualan dan nilai pembangunan kasar masing-masing sebanyak RM1.5 bilion dan RM3.3 bilion untuk 2022. - DagangNews.com