Isu ambil buruh secara tak beretika seperti didakwa media Nepal dijangka tidak beri kesan besar kepada KLK -AmInvest | DagangNews Skip to main content

Isu ambil buruh secara tak beretika seperti didakwa media Nepal dijangka tidak beri kesan besar kepada KLK -AmInvest

KL-Kepong  Rubber Products./ Gambar KLK
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 April - AmInvestment Bank (AmInvest) menjangkakan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) tidak akan menerima kesan besar daripada dakwaan mengambil pekerja secara tidak beretika seperti dilaporkan sebuah media Nepal meski pun perkara itu tetap boleh dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

 

Firma penyelidikan tersebut juga berpandangan yang perkara itu tidak mungkin akan dipertingkatkan kepada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) seperti mana yang berlaku pada Sime Darby Plantation beberapa tahun lalu.

 

"Ingat bahawa produk sawit Sime Darby Plantation di Malaysia telah diharamkan oleh CBP AS dari akhir 2020 hingga awal 2023 disebabkan dakwaan penindasan tenaga buruh. 

 

"Di sebalik larangan, Sime Darby Plantation tidak terjejas dengan ketara kerana AS bukanlah pasaran utama bagi kumpulan itu, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

KLK pada Jumaat memaklumkan sedang menyiasat dakwaan amalan pengambilan pekerja secara tidak beretika yang dibuat terhadap SOS Manpower Service, ejen dilantiknya untuk mengambil pekerja asing warga Nepal untuk anak syarikatnya KL-Kepong Rubber Products Sdn Bhd.

 

Dakwaan itu, menurut KLK, dibuat oleh Sajha Sabal Media, sebuah portal berita di Nepal.

 

"Kami memandang serius dakwaan itu dan segera melancarkan siasatan dengan semua pihak berkaitan untuk menentukan dan mengesahkan fakta perkara itu. Berdasarkan penemuan itu, kami akan mengambil semua tindakan yang perlu dan sewajarnya," kata syarikat itu.

 

Menurut portal berita Nepalise Sajha Sabal Media, sub-ejen syarikat SOSManpower telah menuntut NPR260,000 daripada pekerja yang ingin bekerja dengan KL-Kepong  Rubber Products.

 

Sementara itu, AmInvest bagaimanapun berkata, laporan Sajha Sabal Media, Nepal adalah satu bentuk peringatan bahawa sektor perladangan akan sentiasa berhadapan dakwaan penyalahgunaan buruh atau amalan pengambilan yang tidak beretika.

 

Firma penyelidikan itu juga tidak menjangkakan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) akan terlibat kerana dakwaan itu melibatkan pekerja dalam industri sarung tangan dan bukannya minyak sawit.

 

"Kami mengekalkan saranan BELI di KLK dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak RM25.20 sesaham, yang berdasarkan PE FY25F sebanyak 18x, purata 5 tahun penanam bermodal besar. Kami juga mengesahkan penarafan ESG 3 bintang di KLK," jelasnya.

 

Sementara itu, kegagalan KLK menyelesaikan dakwaan pengambilan buruh secara tidak beretika boleh menimbulkan risiko kepada penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG), kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini memandangkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap amalan buruh.

 

Sementara menunggu keputusan siasatan, firma penyelidikan itu telah mengekalkan panggilan "Neutral" ke atas KLK dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM21.33 sesaham.- DagangNews.com