600 unit Chery Omoda 5 dipanggil semula oleh JPJ akibat isu kegagalan gandar berkuat kuasa 3 Mei 2024 | DagangNews Skip to main content

600 unit Chery Omoda 5 dipanggil semula oleh JPJ akibat isu kegagalan gandar berkuat kuasa 3 Mei 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menetapkan agar 600 unit kenderaan model Omoda 5 keluaran Chery yang disyaki terlibat isu kegagalan gandar dilaksanakan proses pemanggilan semula berkuat kuasa 3 Mei 2024.

 

JPJ berkata, proses itu perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya yang lain terjamin.

 

“Susulan insiden tular berkenaan kegagalan gandar kenderaan model Omoda 5 buatan Chery, JPJ telah memanggil Syarikat Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. bagi menyiasat dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu tersebut.

 

 

“Pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak syarikat bagi menempah slot pemeriksaan masing-masing atau pemilik kenderaan boleh ‘walk-in’ ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Jabatan itu berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula itu dan komited memastikan semua unit terlibat diperika dan disahkan selamat serta proses penggantian gandar dilaksanakan bagi setiap kenderaan yang terkesan.

 

omoda
Baru-baru ini, seorang pemilik model Chery Omoda 5 mendakwa gandar belakang kereta miliknya patah ketika sedang memandu. - Foto/ Ihsan Facebook Abang Gan

 

"Mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan semua kos yang ditanggung oleh Chery. 

 

"Semua pemilik model Omoda 5 dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula atau pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.

 

Pemilik kenderaan boleh menghubungi Chery Malaysia Customer Careline di talian 03-2771 7070 untuk sebarang maklumat lanjut dan proses pemanggilan semula.

 

Mereka juga boleh melayari laman web www.chery.my atau menghubungi pusat jualan dan perkhidmatan Chery Auto Malaysia yang berdekatan. - DagangNews.com