AmInvestment semak turun penarafan UOA REIT kepada ‘pegang’ akibat kadar penghunian lebih rendah | DagangNews Skip to main content

AmInvestment semak turun penarafan UOA REIT kepada ‘pegang’ akibat kadar penghunian lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - AmInvestment Bank Research menyemak turun penarafan bagi UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ dengan harga wajar (FV) dikurangkan kepada RM1.08 sesaham.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, FV yang lebih rendah berpunca daripada pemotongan pendapatan boleh agih FY24/FY25/FY26 sebanyak 13%/11%/11% bagi mencerminkan kadar penghunian yang lebih rendah daripada jangkaan untuk Menara UOA Bangsar.

 

Katanya, pendapatan boleh agih UOA REIT pada 1QFY24 sebanyak RM12 juta adalah di bawah jangkaan, membentuk 20% daripada ramalan awal dan perbezaan itu disebabkan oleh kadar penghunian yang lebih rendah.

 

"Pada 1QFY24, hasil kasar UOA REIT turun 9% manakala pendapatan hartanah bersih (NPI) merosot 13% disebabkan penurunan kadar penghunian di Menara UOA kepada 57% berbanding 97% pada 1QFY23, akibat daripada ketiadaan penyewa utama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Menara UOA Bangsar menyumbang 21% daripada pendapatan sewa kasar FY23 UOA REIT dan derdasarkan analisis penurunan 40% bagi kadar penghunian untuk menara itu akan mengakibatkan penyusutan 9% bagi hasil UOA REIT.

 

Walaupun terdapat penurunan yang ketara, AmInvestment percaya kadar penghunian di Menara UOA akan pulih secara beransur-ansur memandangkan lokasi utamanya dengan sambungan terus ke stesen LRT Bangsar.

 

"Menara UOA sedang bersedia untuk menerima penerapan Pusat Siber Digital Malaysia yang akan menjadikan pangkalan penyewa yang lebih luas termasuk syarikat teknologi maklumat dan komunikasi," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar penyewaan tidak berubah memandangkan lebihan bekalan ruang pejabat berterusan ditambah dengan tekanan inflasi yang memberi kesan kepada jualan penyewa.

 

"Tiada pengagihan pendapatan diisytiharkan pada 1QFY24 kerana dasar pengagihan separuh tahunannya," katanya.- DagangNews.com