EWOG komited bekerjasama dengan SSM susulan arahan pembekuan Dana Akaun Amanah | DagangNews Skip to main content

EWOG komited bekerjasama dengan SSM susulan arahan pembekuan Dana Akaun Amanah

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Mei — East West One Group (EWOG) menghormati arahan Suruhanjaya Syarikat Malaysia SSM supaya membekukan Dana Akaun Amanah pada 28 April lalu dan bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan suruhanjaya dan badan kawal selia berkaitan.

 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, “EWOG komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan SSM dan semua badan kawal selia.

 

"Kami sedang mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan pematuhan dan memudahkan proses semakan yang menyeluruh dan telus. Kerjasama ini menekankan dedikasi kami untuk menegakkan standard tertinggi tadbir urus korporat dan etika," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SSM mengarahkan pemegang amanah East West One Group supaya bekukan dana akaun amanah

 

Pengurusan EWOG telah berusaha untuk membawa isu-isu yang sedang berlaku kepada Syarikat Penanam melalui penganjuran Mesyuarat Penanam seperti yang diperuntukkan oleh surat ikatan amanah dan Akta Skim Faedah 2016.

 

Walau bagaimanapun, percubaan tersebut telah diganggu oleh sekumpulan minoriti Penanam melalui tindakan mahkamah.

 

Yang terbaru ialah injunksi ad Interim yang menghentikan mesyuarat yang dijadualkan pada 5 April 2024.

 

Malangnya, injunksi interim bukan sahaja telah menghentikan mesyuarat tetapi juga telah mengganggu usaha pemulihan yang sedang dijalankan, yang bermula awal tahun lepas.

 

"Gangguan dalam kerja pemulihan ini menimbulkan cabaran besar untuk melindungi dan meningkatkan kepentingan pelaburan majoriti pemegang kepentingan kami.

 

 

iktisad

 

"Kelewatan dalam pemulihan telah menjejaskan hasil ladang kami dengan teruk, menjadikannya semakin sukar untuk memulihkan dan mengekalkan kesihatan dan produktiviti aset biologi kami, akhirnya memberi kesan kepada nilai pegangan pelabur kami," kata EWOG.

 

Untuk tujuan ini, EWOG menggesa semua Penanam untuk bersama-sama menyokong penjadualan semula Mesyuarat Penanam.

 

"Adalah penting bahawa suara semua Penanam didengari, dan keputusan dicapai untuk meneruskan ke hadapan bagi semua skim kami," kata EWOG. - DagangNews.com