Jumlah volum kontena Asia-Eropah diramal terjejas, pertumbuhan Westports akan dipacu perdagangan serantau - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Jumlah volum kontena Asia-Eropah diramal terjejas, pertumbuhan Westports akan dipacu perdagangan serantau - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Mei - Volum kontena keseluruhan Westports bagi segmen Asia-Eropah diramal terjejas apabila syarikat kapal memilih laluan yang lebih panjang di sekitar Tanjung Harapan, Afrika.

 

Menurut MIDF Research, terminal juga mengalami turun naik dalam penggunaannya pada minggu-minggu tertentu disebabkan gangguan dalam jadual penghantaran.

 

Katanya, bagaimanapun perkara ini dijangka kembali normal dari semasa ke semasa.

 

"Jangkaan kami kekal tidak berubah dengan ramalan pertumbuhan volum kontena keseluruhan 4.2% yoy untuk FY24. 

 

"Perdagangan serantau intra-Asia dijangka memacu pertumbuhan volum keseluruhan, manakala volum Asia-Eropah mungkin mengalami sedikit gangguan apabila pelanggan memilih laluan yang lebih jauh di sekitar Tanjung Harapan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, kata MIDF Research, trend nisbah gerbang-ke-pindahhantaran yang lebih tinggi (melebihi 40% berbanding sejarah 30%), dijangka berterusan sepanjang tahun.

 

Katanya, inu berikutan pelaburan langsung asing (FDI) yang dperoleh tahun lepas mula beroperasi tahun ini.

 

"Ini dijangka memanfaatkan Westports melalui caj yang lebih tinggi untuk kontena pintu masuk," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Westports rekod kenaikan untung bersih 11.4% pada 1QFY24

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran (TP) RM4.30.

 

Westports Holdigs erhad semalam melaporkan peningkatan untung bersih sebanyak 11.4% kepada RM204.51 juta untuk suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) berbanding RM183.59 juta bagi tempoh sama setahun sebelumnya.

 

Peningkatan ini disumbangkan oleh pendapatan segmen kontena yang lebih tinggi, pendapatan kewangan yang diperkukuh dan hasil yang lebih baik daripada usaha sama.  - DagangNews.com