Kegagalan CSR, kemunculan ESG | DagangNews Skip to main content

Kegagalan CSR, kemunculan ESG

Oleh Dr. Muhammad Hafiz Ali

TANGGUNGJAWAB Sosial Korporat atau CSR, merupakan peraturan perniagaan swasta yang tidak lagi asing. 

 

CSR merujuk kepada pendekatan perniagaan oleh sebarang firma yang menyumbang kepada pembangunan sosial yang mampan dengan firma menyampaikan pelbagai manfaat kepada masyarakat dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar. 

 

CSR menekankan idea bahawa sesebuah firma perniagaan, selain daripada memaksimumkan keuntungan kewangan, ia mempunyai tanggungjawab yang lebih luas terhadap masyarakat ramai. 

 

Firma perlu memikirkan dan mempertimbangkan kesannya terhadap masyarakat dan alam sekitar. 

 

 

Dr. Muhammad Hafiz Ali
             Dr. Muhammad Hafiz Ali

 

 

Majoriti pakar berpendapat; dengan menyepadukan CSR ke dalam operasi sesebuah firma berpotensi untuk meningkatkan reputasi syarikat, mengekalkan minat pekerja dan pelanggan, mengurangkan risiko, dan menyumbang kepada misi jangka panjang mereka.

 

CSR merangkumi beberapa aspek, termasuk tanggungjawab firma dalam:
(1) mencipta nilai ekonomi untuk pelbagai pihak berkepentingan, 
(2) memastikan amalan sosial yang positif seperti keadilan hak buruh dipraktikkan, 
(3) meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar daripada operasi perniagaan, dan 
(4) mematuhi prinsip dan piawaian etika dalam sebarang tingkah laku perniagaan.

 

Pengkritik berpendapat bahawa banyak firma hanya terlibat dalam aktiviti CSR bagi tujuan meraih untuk publisiti perhubungan awam. 

 

CSR dangkal ini tidak telus dan bukannya bagi menangani isu sosial dan alam sekitar sebenar. Akibatnya, inisiatif CSR mungkin gagal memberikan impak bermakna kepada masyarakat ramai.

 

Kebanyakan isu sosial dan alam sekitar adalah amat kompleks. Justeru itu, ia memerlukan inisiatif CSR yang dirancang baik dan komitmen jangka panjang oleh firma perniagaan. 

 

Tambahan lagi, kerjasama dengan organisasi lain adalah esensial dalam mencapai penyelesaian yang inovatif. Inisiatif sebegini adalah satu komitmen besar yang seringkali gagal dilaksanakan dengan jaya.

 

Kegagalan inisiatif CSR juga telah banyak membuktikan isu akauntabiliti oleh firma-firma perniagaan. 

 

Firma-firma ini tidak telus dan gagal dipertanggungjawabkan apabila berlaku bencana yang tidak diingini hasil daripada kecuaian tadbir urus perniagaan mereka.

 

 

Deepwater Horizon BP

 

 

Sebagai contoh; pertama, tumpahan minyak Deepwater Horizon BP (British Petroleum) di Teluk Mexico pada tahun 2010 merupakan salah satu bencana alam sekitar terbesar dalam sejarah. 

 

Kedua, terdapat banyak laporan mengenai penganiayaan pekerja, waktu kerja yang berlebihan, dan keadaan hidup yang teruk bagi buruh di dalam pengoperasian Apple di China. 

 

Insiden berterusan sebegini mencabar reputasi firma-firma gergasi ini. Mereka sering berhujah tentang penyumberan beretika dan amalan pembuatan yang bertanggungjawab di dalam pengoperasian. 

 

Ini menimbulkan persoalan orang ramai akan ketelusan komitmen dan keberkesanan inisiatif CSR firma-firma ini. Adakah mereka sekadar omong kosong?

 

Ujian sebenar inisiatif CSR firma-firma ini, terletak pada keupayaan mereka untuk menterjemahkan komitmen tersebut kepada langkah yang benar-benar akan memberi kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar. 

 

Firma harus memberi tumpuan penuh dalam menangani isu secara sistemik dan bukannya menangani simptom semata-mata. Syarikat tidak seharusnya memilih isu sosial mengikut minat mereka sahaja.

 

Kesan daripada itu, pendekatan alternatif yang lebih holistik diperkenalkan untuk mengukur prestasi inisiatif CSR firma kepada masyarakat umum, iaitu metrik ESG. 

esg

 

ESG terdiri daripada tiga dimensi; alam sekitar (Environment, E), sosial (Social, S), and tadbir urus (Governance, G). 

 

Tiga dimensi ini memberi tumpuan dan mengukur keberkesanan inisatif CSR oleh firma, dari aspek 
(1) kesan persekitaran semula jadi, 
(2) perhubungan firma dengan pelbagai pihak berkepentingan, dan 
(3) tadbir urus berkaitan dengan struktur, proses, dasar dan amalan sesebuah firma.

 

ESG berbeza daripada CSR. Aktiviti CSR dilaporkan secara sukarela oleh firma kepada masyarakat melalui laporan kemampanan, laporan kewarganegaraan korporat atau dalam bentuk pendedahan lain. 

 

Oleh yang demikian, pelaporan CSR lebih didorong oleh naratif firma itu sendiri. Demi mempamerkan kesan sosial dan alam sekitar yang tampak positif daripada inisiatif CSR firma.

 

Walau bagaimanapun, ESG ialah penilaian prestasi inisiatif CSR firma dengan menggunakan pelbagai metrik penilaian berdasarkan rangka kerja dan piawaian global. 

 

Maklumat ESG firma ini didedahkan kepada umum melalui metrik yang dihasilkan oleh pihak ketiga yang berkecuali; sama seperti syarikat-syarikat audit bebas.

 

ESG menyediakan rangka kerja global, penilaian, dan garis panduan pelaporan piawai yang membolehkan perbandingan dan penanda aras merentas syarikat, sektor dan wilayah. 

 

Seperti; Sustainable Development Goals (SDGs), Global Reporting Initiatives (GRI), dan Task Force on Climate-related Financial Disclosures (TCFD). Penyeragaman ini membantu pihak berkepentingan menilai prestasi kemampanan syarikat secara konsisten dan mengenal pasti firma yang mendahului atau yang ketinggalan dalam prestasi ESG. 

 

 

iktisad

 

Metrik ESG menyediakan data kuantitatif tentang prestasi sosial sesebuah firma. Terkini, metrik ESG semakin disepadukan ke dalam analisis kewangan, pembuatan keputusan pelaburan, dan pengurusan aset oleh firma dan pelabur. 

 

Metrik ini dipercayai boleh memberikan gambaran kemampanan prestasi dan nilai jangka panjang syarikat.

 

Metrik ESG juga berguna kepada firma dalam mencipta nilai daya saing dan meningkatkan daya tahan di dalam industri. Firma boleh mengenal pasti faktor persekitaran, sosial, dan tadbir urus yang paling relevan dengan operasi perniagaan dan hasil kewangan mereka.

 

Firma yang mempunyai prestasi metrik ESG yang baik, sering dianggap sebagai firma yang lebih bertanggungjawab, beretika dan mampan. 

 

Ini boleh meningkatkan reputasi mereka, menarik pelabur, pelanggan, dan pekerja. Ia juga dapat mengurangkan risiko yang berkaitan dengan isu alam sekitar, sosial, dan tadbir urus.

 

Namun, walaupun rangka kerja ESG menawarkan kelebihan tertentu berbanding pendekatan tradisional CSR, ia tidak semestinya "lebih baik". 

 

ESG bertindak sebagai  pelengkap rangka kerja CSR. Ia boleh digunakan seiring dalam menggalakkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab, meningkatkan prestasi kemampanan dan mencipta nilai jangka panjang untuk syarikat dan masyarakat. - DagangNews.com

 

Dr. Muhammad Hafiz Ali adalah Koordinator Perbankan & Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.