Kenaikan gaji penjawat awam diunjur tingkatkan pendapatan RCE Capital, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kenaikan gaji penjawat awam diunjur tingkatkan pendapatan RCE Capital, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan kenaikan gaji kakitangan awam akan meningkatkan pendapatan RCE Capital Bhd terutama daripada segmen pembiayaan pengguna.

 

Katanya, perkembangan baharu itu dijangka membantu mepercepatkan pertumbuhan dalam segmen pembiayaan kumpulan itu.

 

"Terdapat hubungan kukuh antara emolument kerajaan dan baki penghutang pembiayaan RCE Capital," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gaji penjawat awam akan dinaikkan bermula 1 Disember 2024 dengan mereka akan menerima pendapatan bulanan keseluruhan minimum RM2,000 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dirombak.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan anggaran pendapatan kumpulan sebanyak 10% dan ramalan dividen sehingga 9%.

 

Katanya, syarikat itu dijangka memperoleh keuntungan bersih teras sebanyak RM154 juta pada 2025 dengan dividen bersih 16 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25).

 

Keuntungan telah membantu mengurangkan kerugian RCE Capital kepada 3% menjelang keputusan kewangan setahun penuhnya yang akan diumumkan menjelang akhir bulan ini dengan penganalisis menjangkakan keuntungan bersih sebanyak RM144.25 juta untuk FY24.

 

Maybank IB menyemak naik penarafan RCE Capital kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.83 sesaham.

 

Katanya, penjawat awam membayar balik pembiayaan mereka kepada RCE Capital dengan potongan gaji melalui koperasi Angkasa, dan kumpulan itu mengalami penghutang pembiayaan tidak berbayar (NPF) dan kos kredit yang lebih tinggi jika penjawat awam berhenti daripada perkhidmatan awam atau bersara awal.

 

"Kami mendapati nisbah NPF dan kos kredit semakin meningkat apabila penjawat awam mencari peluang pekerjaan luar daripada perkhidmatan awam untuk berdepan kos sara hidup yang lebih tinggi.

 

"Dengan gaji yang lebih tinggi, adalah munasabah untuk menjangkakan lebih sedikit daripada mereka akan meninggalkan sektor itu pada masa hadapan," katanya.- DagangNews.com