Kerugian teras Lotte Chemical Titan pada 2QFY24 diramal meningkat kesan kelemahan jualan | DagangNews Skip to main content

Kerugian teras Lotte Chemical Titan pada 2QFY24 diramal meningkat kesan kelemahan jualan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - TA Securities menjangkakan kerugian teras Lotte Chemical Titan Holding Bhd meningkat pada 2QFY24 kesan daripada jumlah jualan yang lebih rendah dan sebaran produk yang lebih lemah.

 

Katanya, prospek pendapatan jangka pendek kumpulan kekal mencabar berikutan lebihan bekalan walaupun terdapat potensi positif daripada persekitaran ekonomi global yang lebih baik dan langkah rangsangan China.

 

"Kami meramalkan kadar penggunaan kilang dan jumlah jualan kumpulan itu menyusut pada 2QFY24 seterusnya memberi kesan negatif kepada pendapatan mereka bagi suku tersebut," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kerugian bersih kumpulan itu bagi suku pertama berakhir 1QFY24 menyusut sebanyak 20.8% kepada RM178 juta berbanding RM224.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong hasil lebih baik daripada produk olefin dan derivatif (O&D).

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan pada suku berkenaan menyusut kepada RM1.92 bilion berbanding RM1.97 bilion pada suku sama tahun lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rugi bersih Lotte Chemical Titan pada 1QFY24 susut 20.8% kepada RM178 juta

 

Firma penyelidikan itu sebelum ini meramalkan kumpulan itu mencatatkan keuntungan teras sebanyak RM41.4 juta untuk FY24.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu terlepas sasaran berikutan penyusutan pendapatan disebabkan penggunaan kilang yang lebih rendah dan sebaran produk yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

TA Securities menyemak turun andaian purata penggunaan kilang antara FY24 hingga FY26 daripada 73%-80% kepada 66%-75% dan mengurangkan purata harga jualan (ASP) antara 3%-5%.

 

Kesan daripada itu, firma penyelidikan memotong ramalan pendapatan kepada -RM653 juta/ -RM213.6 juta/-RM213.9 juta daripada RM41.4 juta/RM410.1 juta/RM482.8 juta.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.03 sesaham," katanya. - DagangNews.com