Lembaga Pengarah DNB bermesyuarat minggu depan semak penemuan usaha wajar terhadap rangkaian 5G | DagangNews Skip to main content

Lembaga Pengarah DNB bermesyuarat minggu depan semak penemuan usaha wajar terhadap rangkaian 5G

KUALA LUMPUR 3 Mei - Ahli lembaga pengarah Digital Nasional Berhad (DNB) akan bermesyuarat pada Selasa depan untuk menyemak penemuan usaha wajar, dan berusaha ke arah memenhi syarat-syarat terdahulu serta melengkapkan butiran perjanjian langganan saham (SSA).

 

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, mereka akan mempunyai 20 hari untuk mengemukakan cadangan.

 

"Kita perlu melalui proses itu. Selepas ahli lembaga pengarah baharu masuk, mereka akan mengkaji proses usaha wajar yang dilakukan ini, mengkaji laporan yang dibuat dan menentukan hala tuju perkara yang akan diambil selepas ini.

 

"Terdapat tempoh masa yang ditetapkan untuk itu, saya percaya selama 20 hari, untuk mereka kembali selepas melihat laporan usaha wajar jadi kami akan melaksanakannya satu demi satu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara DNB dan Ericsson dengan Intel, SKF, Scania dan eMooVit hari ini.

 

SSA telah dimeterai oleh pihak terlibat untuk melaksanakan dasar kerajaan seperti yang diumumkan pada 2 Mei 2023, mengenai peralihan daripada model 5G rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model 5G rangkaian dwi (DN).

 

Terdapat dua fasa utama kepada peralihan. Fasa pertama, rangkaian 5G DNB mencapai liputan 80% kawasan berpenduduk (CoPA) dan penyertaan pengendali rangkaian mudah alih dalam DNB.

 

Fasa kedua elbatkan peralihan kepada DN dan pelupusan kerajaan melalui ekuiti Kementerian Kewangan Inc (MoF Inc) dalam DNB di mana pengendali rangkaian mudah alih akan kekal dengan DNB manakala selebihnya akan berpindah ke rangkaian 5G kedua dan melepaskan ekuiti mereka dalam DNB.

 

Sebaik sahaja SSA selesai, syarikat telekomunikasi akan mengambil 70% ekuiti dalam DNB (14% setiap syarikat telekomunikasi) manakala MoF Inc akan mengekalkan 30% ekuiti dan bahagian khas yang akan memberikan Kementerian Kewangan hak istimewa tertentu untuk sesuatu tempoh yang ditetapkan. 

 

Lima ahli lembaga pengarah baharu ialah Datuk Kamal Khalid (CelcomDigi), Uthaya Kumar Vivekananda (Maxis), Chang Yit Fei (U Mobile), Nik Azli Abu Zahar (Telekom Malaysia) dan Datuk Seri Yeoh Seok Hong (YTL Power International).

 

Lima ahli baharu itu akan menyertai ahli lembaga lain penyandang Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Ma Sivanesan Marimuthu.

 

DNB kekal sebagai rangkaian 5G tunggal di Malaysia dan ia merupakan satu-satunya entiti yang diberikan spektrum 700MHz dan 3.5GHz untuk pelancaran 5G. 

 

Semua syarikat telekomunikasi utama termasuk CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM dan YTL kini menyediakan perkhidmatan 5G melalui perjanjian capaian masing-masing dengan DNB.- DagangNews.com