Ocean Fresh, KAF IB meterai perjanjian bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Ocean Fresh, KAF IB meterai perjanjian bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Siang Hai Yong (tiga dari kiri) bersama pengursan kanan Ocean Fresh dan CEO KAF IB, Rohaizad Ismail pada majlis meterai perjanjian taja jamin IPO.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Mei - Ocean Fresh Berhad (Ocean Fresh) menandatangani perjanjian taja jamin dengan KAF Investment Bank Berhad bagi tawaran awam pertama (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Pembekal dan pengeksport makanan laut beku itu berkata, IPO tersebut terdiri daripada terbitan awam sebanyak 50.05 juta saham biasa baharu.

 

Katanya, 10.51 juta saham diperuntukkan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia manakala 5.255 juta saham akan diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera termasuk individu, syarikat, koperasi, pertubuhan dan institusi.

 

"Sebanyak 1.71 juta saham diperuntukkan untuk permohonan oleh pengarah-pengarah, pekerja-pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Ocean Fresh.

 

"Sejumlah 37.83 juta saham pula diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur-pelabur yang dipilih," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Kumpulan Ocean Fresh terlibat dalam pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut beku serta penyediaan perkhidmatan pemprosesan makanan laut beku.

 

Selain Malaysia, Ocean Fresh turut terlibat memasarkan produk mereka di luar negara antaranya Turki, China, Thailand, Vietnam dan Jepun.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ocean Fresh, Siang Hai Yong berkata, pihaknya sangat gembira untuk memulakan perjalanan ini dengan KAF Investment Bank, menuju ke arah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

ocean
SIANG HAI YONG

 

"Kami bercadang untuk memperluaskan eksport produk makanan laut beku kami ke pasaran antarabangsa, terutamanya China serta untuk melangkah ke dalam pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut kering. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan bahawa kami perlu meningkatkan ruang stor kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat," jelasnya

 

Justeru kata Hai Yong, Ocean Fresh akan menggunakan sebahagian daripada hasil IPO ini sebagai belanja modal untuk pembinaan sebuah kemudahan stor sejuk baru yang akan meningkatkan kapasiti kami dari 1,700 tan hingga 4,700 tan.

 

"Perjalanan untuk menjadi entiti tersenarai telah lama dinantikan oleh Ocean Fresh. 

 

"Saya gembira bahawa selepas bertahun-tahun usaha keras, kami di sini menggunakan pasaran modal yang akan membantu mempercepatkan rancangan pertumbuhan kami," katanya.

 

Kumpulan dijadualkan untuk disenaraikan pada Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada suku ketiga tahun ini, kecuali berlaku sebarang keadaan yang tidak dijangka.
 

KAF Investent Bank merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penjamin, dan Agensi Penempatan penyenaraian IPO Ocean Fresh.- DagangNews.com