Peningkatan kos sara hidup tanpa kenaikan pendapatan menambah cabaran kepada sektor hartanah - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kos sara hidup tanpa kenaikan pendapatan menambah cabaran kepada sektor hartanah - Kenanga Research

Rumah pada harga mampu milik dijangka terus mendapat sambutan pengguna pada 2024. Gambar NAIM AZIZ DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 April - Kos sara hidup rakyat meningkat tetapi pendapatan tidak berubah menambah satu lagi cabaran yang berterusan buat sektor hartanah di negara ini, kata Kenanga Research.

 

Memandang ke hadapan, firma penyelidikan itu berkata, sektor ini dijangka mengekalkan tumpuannya pada kediaman mampu dimiliki berharga di bawah RM500,000.

 

Kata Kenanga Research, pertumbuhan penduduk, perbandaran baharu dan peningkatan permintaan untuk unit berharga berpatutan bakal mendorong perkembangan sektor tersebut pada masa depan.

 

"Pembangunan berorientasikan kemudahan pengangkutan berkemungkinan mendapat tarikan terutamanya di Lembah Klang kerana pembeli mencari pilihan ulang-alik yang mudah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tambah Kenanga Research, walaupun menghadapi cabaran yang berterusan seperti isu ekonomi dan perubahan peraturan, sektor ini tetap menunjukkan daya tahan dan kebolehsuaian dengan situasi semasa.

 

"Kami terus berpendirian neutral terhadap prospek sektor ini susulan cabaran berterusan akibat lebihan bekalan, hutang isi rumah dan kadar faedah yang tinggi dan sentimen pengguna yang berkurangan akibat inflasi tinggi dan peningkatan kos sara hidup.

 

"Di tengah-tengah cabaran, terdapat peralihan dan penambahbaikan yang ketara dalam sektor ini terutamanya dalam pengurangan unit tidak terjual dan tumpuan kepada kemampuan memiliki dalam sesuatu pembangunan projek perumahan," jelasnya.

 

Kenangan Research berkata, pilihan utama sektor ini ialah MKH Berhad dengan saranan Outperform dan harga sasaran (TP) RM2.11 sesaham memandangkan tumpuan mereka pada unit mampu milik berharga di bawah RM500,000.

 

mkh
MKH mempunyai banyak projek perumahan yang dalam pembinaan termasuk di Kajang dan Cheras.

 

Sementara itu mengenai pembangunan di Johor, firma penyeldikan itu berkata, terdapat keyakinan dalam pasaran hartanah negeri itu didorong oleh inisiatif Zon Ekonomi Khas dan integrasi pengangkutan awam yang lancar selepas Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura siap pada 2026.

 

"Semakan kami di lapangan menunjukkan bahawa pemaju di sana terus berhati-hati kerana perkembangan ini mengambil masa untuk diterjemahkan kepada jualan sebenar.

 

"Walaupun pemaju terus berhati-hati, kami melihat masa depan cerah dalam segmen perumahan mampu milik dan pemaju yang bertapak kukuh di perbandaran matang," ujarnya.
- DagangNews.com