RHB Investment turun taraf saranan Ta Ann kepada Neutral dengan TP RM4 sesaham | DagangNews Skip to main content

RHB Investment turun taraf saranan Ta Ann kepada Neutral dengan TP RM4 sesaham

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Mei - RHB Investment Bank (RHB Investment) menurunkan taraf saranan Ta Ann Holdings Berhad daripada 'Beli' kepada 'Neutral' dengan harga sasaran baharu, RM4.00 sesaham daripada RM4.15.

 

Jelas firma penyelidikan itu, jualan papan lapis Ta Ann dijangka berkurang manakala pengeluaran buah tandan segar (BTS) diunjur tidak mencatatkan pertumbuhan yang besar.

 

Katanya, selain itu kos unit minyak sawit mentah (CPO) pula sedikit lebih tinggi daripada dijangka.

 

Faktor-faktor ini akan mengimbangi pertumbuhan pendapatan Ta Ann pada tahun kewangan 2024 (FY24F) susulan peningkatan harga purata jualan (ASP) daripada segmen perladangan sawit dan balak, kata RHB Investment menerusi nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, firma itu berkata, pengeluaran BTS pada suku pertama 2024 turun 35% berbanding suku sebelumnya dan kekal tidak berubah berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh musim hujan di Sarawak. 

 

Oleh itu, katanya, Ta Ann telah menurunkan sasaran pertumbuhan pengeluaran BTS FY24F kepada 5% daripada 10-12%, tetapi mengharapkan pengeluaran akan pulih secara ketara pada 2H24 dengan musim yang lebih kering dan baja yang lebih baik pada FY23. 

 

"Kami menurunkan jangkaan pertumbuhan BTS FY24 kepada 3% yang lebih konservatif sementara mengekalkan anggaran pertumbuhan BTS 5-6% untuk FY25-FY26F. 

 

"Kos unit CPO juga dinaikkan sedikit kepada RM2,670/tan daripada MYR2,600/tan untuk mencerminkan aktiviti pemupukan yang lebih agresif dalam FY24F, di atas panduan Ta Ann sebanyak MYR2,400/tan," jelasnya.

 

Tambah RHB Investment, keuntungan FY24F ikurangkan sebanyak 4%, dengan mengekalkan anggaran untuk FY25-FY26F kerana pertumbuhan pengeluaran balak dan BTS yang lebih rendah pada FY24F, dan kos MSM yang lebih tinggi.

 

Mengenai jualan papan lapis, firma itu berkata, pihak pengurusan mengharapkan permintaan akan mula meningkat pada 2H24 apabila aktiviti pengisian stok bermula semula.

 

"Secara keseluruhan, walaupun menghadapi cabaran semasa, kami menjangkakan bahagian perkayuan akan tetap menguntungkan dalam FY24 hingga FY26F," ujarnya. - DagangNews.com