TA Securities optimis terhadap prospek PGF Capital didorong permintaan kukuh produk penebat di Australia | DagangNews Skip to main content

TA Securities optimis terhadap prospek PGF Capital didorong permintaan kukuh produk penebat di Australia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - TA Securities optimis terhadap prospek PGF Capital didorong permintaan kukuh bagi produk penebat di pasaran di Australia.

 

Katanya, penglibatan kumpulan itu dalam projek Lapangan Terbang Antarabangsa Western Sydney baharu dilihat akan mendorong pertumbuhan pendapatan pada FY25-FY26.

 

Firma penyelidikan itu juga percaya bahawa kumpulan itu mempunyai potensi untuk membekalkan produk penebat kepada projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang.

 

"PGF Capital sebelum ini pernah membekalkan produk penebat bunyi serta bumbung kepada projek Transit Aliran Massa (MRT) Kajang dan MRT Singapura," katanya dalam satu nota kajian. 

 

Terdahulu, keuntungan bersih kumpulan itu susut 38% kepada RM2.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024 (FY24) berbanding RM5.1 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Kumpulan itu bagaimanapun melaporkan peningkatan hasil sebanyak 41.3% kepada RM128.7 juta daripada RM91.1 juta setahun sebelumnya.

 

Lonjakan hasil itu disebabkan oleh peningkatan jualan dalam perniagaan penebat, didorong oleh permintaan yang kukuh, terutamanya daripada pasaran Oceania.

 

Segmen penebat dan produk berkaitan kekal sebagai pemacu hasil utama syarikat, menyumbang 98.6% daripada jumlah hasil, manakala sumbangan daripada pembangunan hartanah, pegangan pelaburan dan segmen lain dalah tidak memberangsangkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung teras suku keempat kumpulan tu menguncup sebanyak 7.3% berikutan penurunan hasil sebanyak 9%.

 

Katannya, penurunan hasil itu adalah disebabkan oleh kesan bermusim, kerana permintaan dari Australia cenderung perlahan semasa tempoh sambutan Krismas dan Tahun Baharu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.76 sesaham," katanya. - DagangNews.com