Thong Guan terus jadi pilihan Kenanga Research, eksport ke AS, Eropah dijangka meningkat | DagangNews Skip to main content

Thong Guan terus jadi pilihan Kenanga Research, eksport ke AS, Eropah dijangka meningkat

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Mei - Potensi pertumbuhan eksport terutama pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah antara penyebab mengapa saham Thong Guan Industries Berhad perlu kekal jadi pilihan, kata Kenanga Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Thong Guan juga pada masa sama cukup kompetitif dengan membangunkan produk mesra alam dan premium seperti filem regangan nano, beg kurier dan pembalut makanan. 

 

"Kami meramalkan pertumbuhan jumlah jualan sebanyak 10% untuk produk plastiknya dalam FY24, didorong oleh bahagian filem egangan. 

 

"Baru-baru ini, syarikat telah melihat mesin regangan filem yang menggunakan sehingga 50% bahan kitar semula dan sedang melabur dalam gudang baru di Rawang untuk mengoptimumkan operasinya. 

 

"Kami mengekalkan ramalan kami, harga sasaran (TP) sebanyak RM2.86 sesaham dan saranan OUTPERFORM," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Kenanga Research, selain daripada bahagian filem regangan yang menghasilkan separuh daripada jumlah pendapatan keseluruhan pada FY23, bahagian pembalut makanan juga melihat peningkatan pesanan, terutamanya dari pasaran AS dan Timur Tengah. 

 

Katanya, walaupun beg kurier menghadapi cabaran yang menyebabkan pengalihan kapasiti pengeluaran ke arah beg pegangan lingkaran untuk pasaran Eropah, jualan di bahagian lain seperti beg industri dan beg sampah kekal stabil.

 

"Thong Guan juga telah memulakan operasi bagi mesin filem regangan nano yang ke-10. 

 

"Walaupun awalnya dirancang untuk dijalankan pada pertengahan FY23, mereka memutuskan untuk menangguhkan proses tersebut mengambil kira keadaan pasaran yang lemah. 

 

"Kini, dengan pemulihan permintaan, barisan ini akan memenuhi permintaan dari pasaran AS dan Eropah, dengan sumbangan yang dijangka bermula dari Mei 2024," jelasnya.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, syarikat juga telah menghantar kakitangan ke China untuk melihat mesin filem regangan berharga sekitar RM2.4 juta yang memiliki kapasiti pengeluaran sebanyak 200 tan/bulan.

 

Kata Kenanga Research, mesin itu dijangka menarik minat pelanggan yang peka terhadap kelestarian alam kerana boleh menghasilkan filem dengan kandungan alam ekitar sebanyak 30%-50%. 

 

"Perbandingan dengan mesin sedia ada buatan Jerman yang tiga kali lebih mahal dan hanya menghasilkan filem dari resin asli.

 

"Selain itu, Thong Guan sedang membina sebuah gudang baru bernilai RM6 juta di Sungai Buaya, Selangor. 

 

"Dengan lebih daripada 40,000 kaki persegi, gudang ini akan digunakan untuk mengpusatkan operasi syarikat, mengoptimalkan penggunaan ruang, dan meningkatkan logistik bagi produk plastik serta bahagian F&B," ujarnya.- DagangNews.com