Untung bersih SLP Resources pada 1QFY24 melonjak 63% kepada RM4.9 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih SLP Resources pada 1QFY24 melonjak 63% kepada RM4.9 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - Untung bersih SLP Resources Bhd pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) melonjak 63.13% kepada RM4.9 juta berbanding RM3 juta bagi suku sama pada tahun lalu disokong campuran produk lebih baik.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 1.3% kepada RM40.8 juta berbanding RM40.3 juta pada 1QFY23.


 
"Sejajar dengan hasil yang lebih tinggi yang direkodkan, kumpulan mencatatkan untung kasar yang lebih tinggi sebanyak RM6.5 juta, meningkat 61.1% daripada RM4 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

 

"Peningkatan ketara itu adalah disebabkan oleh campuran produk yang lebih baik dan peningkatan pengeluaran output," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek FY24, kumpulan itu mengunjurkan bahawa ekonomi global kekal berdaya tahan dengan jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang antara 4% hingga 5% dengan permintaan domestik yang lebih baik 

 

Katanya, keseluruhan ekosistem ekonomi masih dipenuhi dengan cabaran, seperti faktor inflasi dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

 

"Pemotongan faedah di Amerika Syarikat (AS) mungkin berperingkat dan ia menyebabkan susut nilai hampir semua mata wang berbanding dolar AS dalam beberapa bulan lalu. 

 

"Ini secara negatif akan mendorong kenaikan kos selanjutnya bagi pengimport," katanya.

 

Dengan asas kewangan yang teguh dan sihat, kumpulan itu optimis terhadap prestasi kewangan untuk FY24.- DagangNews.com