UUE Holding meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

UUE Holding meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - UUE Holdings Bhd memeterai perjanjian taja jamin bersama M&A Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 124.9 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 37.4 juta saham sedia ada.

 

Katanya, daripada 124.9 juta saham terbitan awam, 30.4 jutasaham akan disediakan kepada orang awam Malaysia menerusi pengundian manakala sejumlah 40.6 juta saham kepada pengarah, pekerja dan orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sejumlah 38.5 juta saham diperuntukan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan 15.3 juta melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 71 juta saham terbitan awam kepada orang awam Malaysia melalui pengundian.

 

UUE Holdings terlibat dengan perniagaan rumusan kejuruteraan utility bawah tanah dengan fokus kepada pemasangan paip selain terlibat degan perniagaan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE).

 

Kumpulan itu terlibat dengan pelbagai industri termasuk elektrik kepada telekomunikasi dan mempunyai kehadiran di Malaysia dan Singapura. 

 

"Hasil daripada IPO itu akan digunakan bagi membiayai pembelian mesin HDD, lori dan jengkaut bagi menampung projek yang sedang berjalan.

 

"Syarikat itu juga akan memperoleh mesin HDD pelantar maxi yang akan membolehkan kumpulan meneroka kerja HDD dasar laut, mengembangkan rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah manakala baki akan digunakan untuk modal kerja am serta perbelanjaan penyenaraian," katanya

 

Pengarah Urusan UUE, Datuk Kenny Ting berkata, hasil yang daripada IPO memainkan peranan penting dalam memacu usaha pengembangannya serta meningkatkan perkhidmatannya kepada pelanggan di seluruh Malaysia dan Singapura.

 

M&A Securities merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan penyenaraian itu.- DagangNews.com