DNB, Ericsson bergabung tenaga pacu digitalisasi dalam kalangan perusahaan | DagangNews Skip to main content

DNB, Ericsson bergabung tenaga pacu digitalisasi dalam kalangan perusahaan

Gobind Singh dan Borje Ekholm pada majlis pemeteraian MoU DNB, Ericsson bersama rakan kongsi teknologi 5G hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Mei - Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson menjalin kerjasama bagi memacu digitalisasi dalam perusahaan di Malaysia dengan memanfaatkan keupayaan rangkaian 5G Malaysia.

 

Inisiatif industri yang pertama ini bakal membuka jalan kepada penggunaan pelbagai teknologi canggih untuk mengupayakan digitalisasi perusahaan merentasi pelbagai industri serta memacu Malaysia ke arah negara digital yang terkemuka.

 

Pelaksanaan siri ini menyaksikan Ericsson dan DNB menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan eMooVit Technology, Scania dan SKF Malaysia dengan Intel sebagai rakan kongsi teknologi.

 

Majlis itu disaksikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ericsson, Börje Ekholm pada satu majlis di ibu negara hari ini. 

 

Kerjasama dengan Intel dalam pembangunan kes-kes kegunaan 5G untuk merangsang penerapan teknologi baharu dalam kalangan perusahaan. 

 

MoU dengan Scania bagi pengurusan trak dan pembuatan pintar dengan SKF Malaysia yang akan menjana pembangunan penyelesaian, inovasi dan keupayaan yang berasaskan kesalinghubungan 5G, bagi menangani pelbagai cabaran dalam proses digitalisasi perusahaan. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pilih Ericsson bangunkan 5G dengan kos RM11 bilion

 

Kes-kes kegunaan ini akan memacu pembangunan dan pelancaran penyelesaian telekomunikasi baharu yang diperibadikan bagi memenuhi keperluan perusahaan-perusahaan ini yang sentiasa  berubah.

 

Ciri 5G yang berkelajuan tinggi dengan kependaman yang rendah membolehkan komunikasi yang cekap antara mesin, robot dan sistem dalam kilang, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan operasi. 

 

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, infrastruktur digital yang berasaskan rangkaian 5G di Malaysia menjadikan perniagaan di negara ini lebih berdaya saing dan menarik buat pelabur asing.”

 

“Kami sedang mempersiapkan perusahaan untuk digitalisasi dengan rangkaian yang sedia masa hadapan. 

 

"Digitalisasi industri di Malaysia akan membolehkan negara melonjak ke arah negara digital. 

 

"Bagaimanapun, perusahaan perlu mula merancang dan melabur dalam perjalanan digitalisasi bermula sekarang, atau menghadapi risiko ketinggalan dalam perkembangan ini kerana digitalisasi bukan lagi satu pilihan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Smentara itu, Ketua Pegawai Strategi DNB, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, berbekalkan rangkaian 5G bertaraf dunia ada hari ini, Malaysia berada dalam kedudukan yang sangat unik untuk merancakkan digitalisasi negara. 

 

Rangkaian ini sudah meliputi lebih 80 peratus penduduk dan mempunyai antara prestasi dan konsistensi yang terbaik di dunia.

 

“Bagi terus memacu penerapan 5G dalam kalangan perusahaan, DNB dan Ericsson telah memulakan program ini yang akan menyediakan asas kepada industri-industri utama untuk mempamerkan potensi penuh digitalisasi dan 5G. 

 

"Ini akan bertindak sebagai pemangkin untuk permulaan digitalisasi merentasi industri,” tambah beliau.

 

Intel dan Ericsson akan memanfaatkan kepakaran teknologi masing-masing untuk menunjukkan bagaimana penyedia perkhidmatan komunikasi boleh memacu penerapan 5G dan mengembangkan penglibatan perniagaan ke perniagaan (B2B) berdasarkan kes-kes kegunaan 5G. 

 

Intel akan terlibat bersama dalam pembangunan kes-kes kegunaan dalam industri vertikal yang terpilih seperti pembuatan, pengangkutan dan logistik. - DagangNews.com