IPO Farm Price yang bakal disenarai di Pasaran ACE terlebih langganan 91.35 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Farm Price yang bakal disenarai di Pasaran ACE terlebih langganan 91.35 kali

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Mei - Tawaran awam permulaan (IPO) Farm Price Holdings Berhad telah terlebih langgan sebanyak 91.35 kali oleh orang ramai Malaysia menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 Mei ini.

 

Pengedar sayur-sayuran, produk makanan & minuman dan barang runcit dari Johor itu berkata, 22.5 juta saham terbitan diperuntukkan bagi orang awam Malaysia menerima sejumlah 16,647 permohonan untuk 2.077 billion saham terbitan bernilai RM498.66 juta, mewakili kadar terlebih langganan keseluruhan sebanyak 91.35 kali.

 

Bahagian Bumiputeranya pula, 9,895 permohonan untuk 1,030,653,700 saham terbitan diterima, iaitu kadar lebihan langganan 90.61 kali.

 

Bagi bahagian awam, sejumlah 6,752 permohonan untuk 1.047 billion saham terbitan diterima, mewakili kadar lebihan langganan 92.08 kali.

 

"Sebanyak 11.25 juta saham terbitan diperuntukkan bagi permohonan oleh pengarah, pekerja dan rakan perniagaan berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan anak syarikatnya telah dilanggan sepenuhnya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pada masa yang sama, penempatan persendirian sebanyak 68,250,000 saham dan 33,000,000 saham tawaran yang dibuat tersedia untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah dilaksanakan sepenuhnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malacca Securities nilai saham Farm Price bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 44.5 sen sesaham

 

Farm Price mempunyai rekod 20 tahun dalam pengedaran sayur-sayuran segar dan mempunyai Pusat Pengedaran Pusat Senai di Johor dengan kemudahan bilik sejuk untuk penyimpanan dan kawasan pemprosesan. 

 

Operasi mereka disokong oleh 6 pusat pengedaran serantau di Johor, Selangor, Perak, dan Pulau Pinang yang memberi tumpuan kepada pengedaran borong produk makanan & minuman dan barang runcit.

 

Dalam kenyataan, Pengarah Urusan Farm Price, Dr. Tiong Lee Chian mengucapkan terima kasih kepada pelabur atas sambutan yang hangat untuk IPO mereka. 

 

farm

 

Beliau menyatakan bahawa dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk mempercepatkan rancangan pembesaran syarikat dan mengeksploitasi peluang pertumbuhan dalam industri sayur-sayuran segar. 

 

"Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam pengedaran produk sayur-sayuran segar, syarikat merancang untuk membesarkan Pusat Pengedaran Pusat Senai mereka, memperluas rangkaian pengedaran mereka, dan membuka pejabat jualan dan pemasaran di Singapura," katanya.

 

Selepas penyenaraian, Farm Price akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM108 juta berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 450 juta saham.

 

Farm Price menyasarkan untuk mengumpul RM24.48 juta daripada penyenaraiannya di pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengembangkan operasinya termasuk membeli jentera baharu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Farm Price sasar kumpul RM24.48 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

IPO syarikat itu berharga 24 sen sesaham, terdiri daripada terbitan 102 juta saham biasa baharu, membentuk 22.67 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesarkan.

 

Sebanyak 26% atau RM6.4 juta daripada hasil yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk pembinaan kemudahan baharu, pembelian jentera, peralatan dan logistik (RM2 juta) di samping pusat pengagihan dan perolehan wilayah yang dirancang (RM1.6 juta).

 

Kumpulan yang berpengkalan di Johor itu juga akan menggunakan 43% hasil itu untuk modal kerja (RM10.58 juta) dengan anggaran perbelanjaan penyenaraian pula berjumlah RM3.9 juta.
  

Syarikat itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 Mei 2024.

 

Alliance Islamic Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.- DagangNews.com