Akhbar Cina ingatkan Anwar fokus kepada Malaysia MADANI, jangan jadi konservatif | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 21 Aug 2023 08:00 AM

Akhbar Cina ingatkan Anwar fokus kepada Malaysia MADANI, jangan jadi konservatif

Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 17-20 Ogos 2023

 

 

 

SELEPAS seminggu keputusan 6 Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim belum tampil sepenuhnya memberi sebarang respon terhadap situasi `3 sama’ itu.

 

Malah dalam laman facebook beliau juga hanya memuat naik sebuah video dengan teks ringkas, mengucapkan terima kasih kepada pengundi di 3 negeri atas sokongan mereka.

 

Agak luar biasa, sehingga ada yang mengandaikan Anwar cuba melarikan diri. Tetapi dalam situasi sekarang, diam adalah lebih baik daripada berbunyi. Keputusan undi sudah menjelaskan segala-galanya, bahawa perjalanan untuk memperjuangkan reformasi masih lagi jauh dan banyak rintangan yang perlu diatasi satu demi satu.

 

Jadi membuat analisis secara terbuka berhubung keputusan pilihan raya ini, atau menuding jari memarahi pihak lawak kerana bermain dengan sentimen agama dan kaum hanya akan membuatkan orang ramai menganggap ia hanya alasan.


 

pmx

 


Rintangan 4 tahun yang perlu dihadapi

Hari ini, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar perlu berdepan realiti bahawa kuasa Perikatan Nasional (PN) semakin berkembang.

 

Walaupun kemungkinan untuk Kerajaan Perpaduan tumbang adalah tipis, namun dalam tempoh 4 tahun akan datang pasti akan bergelut dengan badai.

 

Jadi tiada masa untuk merungut atau berterusan menghentam pihak lawan. Apa yang perlu dilakukan oleh Anwar dan pasukannya adalah menumpukan sepenuhnya perhatian kepada membangunkan ekonomi negara.

 

Hanya apabila ekonomi pulih sepenuhnya barulah ia dapat mengatasi tekanan berat inflasi terhadap rakyat, dan Kerajaan Perpaduan berpeluang untuk 5 tahun akan datang lagi.

 

Politik goyah, pelabur lari

Selalu ditekankan bahawa ketidakstabilan politik bermakna risiko akan meningkat. Pelabur tidak suka dengan risiko, jadi untuk mengelakkan ia berlaku, mereka akan mengurangkan pelaburan dalam negara.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia boleh dikatakan telah memasuki tahap ketidakstabilan politik yang melampau. Walaupun ada calon PM, persaingan antara parti politik dan pilihan raya berterusan telah menghakis kesabaran pelabur dengan Malaysia.

 

Malaysia bukan satu-satunya negara di dunia. Bagai modal asing, ketidakstabilan politik hanya akan melemahkan ‘nilai pelaburan’. Jadi mereka beralih kepada negara yang mempunyai potensi yang sama seperti Malaysia tetapi lebih stabil dari segi politik seperti Indonesia dan Vietnam. 


 

tnb

 


Bedah siasat kelemahan parti

Menyentuh mengenai kekurangan sokongan daripada pengundi Melayu pula dan prestasi PKR yang kurang memuaskan, Anwar perlu tegas dengan Malaysia Madani yang dilaungkannya.

 

Jangan sesekali beralih ke arah konservatif hanya kerana gelombang hijau yang semakin mengganas. Jika prestasi PKR tidak bagus, rombakan dalaman parti perlu dilakukan segera.

 

Terlalu awal untuk menilai prestasi Anwar sebagai PM yang lemah selama 9 bulan mentadbir negara. Tetapi tekanan kehidupan yang berpanjangan sudah melemahkan semangat rakyat terhadap politik malah melihat ia sebagai sandiwara tipu daya.

 

Jadi pemimpin yang peka

Suara-suara meminta pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih lagi kedengaran. Namun semasa kita mengkritik suara-suara ini sebagai buta, kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa ramai orang yang sememangnya sedang menghadapi keperitan berjuang untuk terus hidup.

 

Permintaan rakyat marhean sebenarnya sangat mudah, tidak lebih daripada mempunyai makanan dan pakaian yang mencukupi, bersyukur jika dapat hidup lebih mewah.

 

Jika ahli politik Malaysia tidak memahami tuntutan paling asas rakyat biasa, leka dalam permainan menjatuhkan rejim. Bagaimana mereka mahu bercakap mengenai pembangunan ekonomi, apatah lagi untuk meningkatkan keyakinan rakyat dan juga pelabur asing?

 

Rendah diri dan fokus adalah lebih baik

Adakah anda perasan tiada seorang pun pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat sebarang ulasan mengenai keputusan 6 PRN.

 

Hanya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sehari selepas hari pengundian membuat kenyataan yang ringkas dan tepat, iaitu situasi di Semenanjung Malaysia berpecah mengikut kaum dan agama. Jelas sekali beliau enggan dan keberatan mengulas lebih banyak sama ada sebelum atau pun selepas pilihan raya berlangsung.


 

tnb

 


Apa yang dilakukan Abang Johari pada minggu lalu adalah dengan membuat langkah besar mengumumkan barisan Lembaga Penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF).

 

Jika melihat pemilihan ahli lembaga bukan calang-calang orangnya, mereka adalah pakar dalam pelbagai bidang. Penubuhan SSWFF adalah kunci kepada kemerdekaan ekonomi masa depan Sarawak.

 

Sebelum ini, Abang Johari telah mengumumkan ‘Kenyalang Gold Card’, inisiatif kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga emas. Memberi faedah perubatan dan pelan insurans kepada golongan berkenaan.

 

“Sarawak First…inilah yang kami kejar. Tidak perlu bercakap mengenai perkara lain, hanya fokus kepada rakyat Sarawak”. Itu yang dikatakan oleh seorang menteri.

 

Jadi apabila Abang Johari menekankan dasar ditumpukan kepada ‘Sarawak First’, mungkin telah memberi sedikit inspirasi dan hala tuju kepada Anwar. Bercakap dan membuat perkara yang perlu sahaja, diam adalah jawapan yang terbaik. 

 

Kesimpulannya, diam Anwar adalah lebih baik dan tidak bercakap terlalu banyak mengenai pencapaian dalam pilihan raya.


 

tnb

 


Langkah menyiarkan lebih banyak gambar pertemuan dengan pelabur-pelabur asing adalah bagus untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa masa depan bukan tentang konfrantasi politik tetapi adalah mengenai peningkatan ekonomi. – DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 17 - 20 Ogos 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.