Akhbar Cina tidak anggap keputusan PRN sebagai referendum rakyat menolak PH | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 24 Jul 2023 08:00 AM

Akhbar Cina tidak anggap keputusan PRN sebagai referendum rakyat menolak PH

Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 19 – 22 Julai 2023

 

 

 

KETIKA negara kita sedang berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, ahli politik ekstrem berterusan menghasut sentimen perkauman yang sensitif demi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

 

Selepas bertahun-tahun merdeka, negara juga telah melalui banyak Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN, pemikiran ahli politik kita masih tidak nampak kematangannya. Sebaliknya berterusan memanipulasikan sentimen perkauman yang menjadi kehebatan mereka.

 

Kita sentiasa menghebahkan bahawa Malaysia adalah daya tarikan Asia, kerana kita adalah negara di mana pelbagai kaum, bahasa, budaya dan agama wujud bersama.

 

Namun, di saat rakyat bertungkus lumus membina negara yang harmoni, makmur dan mesra, hubungan kaum telah dieksploitasi berkali-kali oleh parti politik yang tidak bertanggungjawab untuk meraih undi.

 

Dalam banyak keadaan, hubungan semasa rakyat yang kelihatan mesra sering diuji kerana terdedah dengan maklumat palsu.

 

Terutamanya penyebaran meluas media sosial tanpa sempadan dan tapisan yang menguji asas perpaduan rakyat. Sudah tentu orang yang rasional akan memahami bahawa ia adalah helah ahli politik.


 

tnb

 


PRN sebagai referendum?

Ramai penganalisis melihat enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai referendum kepada Kerajaan Perpaduan dan menganggap kestabilan kerajaan bergantung kepada keputusan PRN ini.

 

Walaupun enam PRN ini boleh dikatakan agak unik kerana ia melibatkan pelbagai  lapisan pengundi dan peringkat, namun belum cukup untuk dianggap sebagai referendum rakyat. Dakwaan mengatakan bahawa keputusan PRN akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan, belum cukup kukuh untuk mengiakan.

 

Pertama sekali, kawalan kuasa negeri adalah tiga lawan tiga maka situasinya adalah 50-50. Jadi mengapa Kerajaan Perpaduan dikatakan berdepan dengan referendum, tetapi menang atau kalah Perikatan Nasional (PN) tidak diambil kira?

 

Jika hendak menggunakan perspektif referendum, kita juga boleh mengatakan bahawa PRN ini juga adalah referendum gelombang hijau kerana tiga negeri di bawah pemerintahan PN sebenarnya adalah dikuasai oleh PAS.

 

Selepas PAS berterusan mengambil langkah-langkah Islamisasi, enam PRN ini juga melihat sama ada pengundi boleh menerima dasar-dasar Islam ini. Antaranya bantahan penganjuran konsert, larangan berjudi dan campur tangan dalam kehidupan seharian orang bukan Islam.

 

Selain pengundi bukan Islam, ada di kalangan orang Islam juga akan membuat penilaian penting mengenai fenomena gelombang hijau ini kerana kehidupan mereka juga terjejas dengan dasar tersebut.


 

tnb

 


Malaysia Timur masih lagi ‘kingmaker’

Kedua, enam PRN ini tidak mendapat penyertaan Malaysia Timur maka ia belum benar-benar mewakili referendum seluruh rakyat. Jumlah keseluruhan kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah telah pun menjadi ‘kingmaker’ semasa era Barisan Nasional. Pakatan pembangkang tewas kepada rejim BN pada masa lalu, adalah kerana tidak dapat meraih sokongan Malaysia Timur.

 

Parti politik di Malaysia Timur merupakan salah satu faktor penting kepada kestabilan politik di Malaysia. Selagi pendirian mereka tidak berubah, PN tidak mungkin dapat mentadbir negara.

 

Gelombang hijau pimpinan PAS bukanlah pilihan bagi parti politik di Malaysia Timur kerana di Sabah dan Sarawak tiada politik perkauman dan agama.

 

Oleh demikian, meskipun selepas enam PRN diadakan, Malaysia Timur masih lagi kunci untuk mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan. Walau apa pun keputusan enam PRN, selagi mereka gagal melepasi ujian di Malaysia Timur, PN hanya akan kecewa.

 

Dengan aura peribadi Anwar dan restu Malaysia Timur, bukan mudah untuk PN mengubah landskap politik negara menerusi enam PRN ini.

 

Justeru itu, PRN bukan semata-mata referendum kepada Kerajaan Perpaduan, sebaliknya lebih kepada penerimaan rakyat terhadap gelombang hijau atau PN.  Gelombang hijau yang konservatif akan diuji menerusi referendum ini.

 

Kerajaan Perpaduan perlu fokus tadbir negara

Situasi semasa adalah 50-50, mengekalkan status quo adalah satu kemenangan bagi Kerajaan Perpaduan. Jika dapat memenangi satu negeri lagi, pastinya memberi tamparan hebat kepada gelombang hijau dan PN.


 

tnb

 


Sama ada akan berlaku ribut selepas pilihan raya, bergantung kepada cara Kerajaan Perpaduan membuat keputusan yang betul dalam semua aspek, agar semua rakyat dapat mempunyai ruang untuk mencari erti kehidupan mereka.

 

Dalam berdepan dengan sentimen perkauman dan agama yang melampau, adakah pelabur asing masih mempunyai keyakinan terhadap negara kita?

 

Pembangunan ekonomi negara kita masih terperangkap di setempat. Selain isu birokrasi yang serius dalam jabatan kerajaan, ahli politik yang tidak bertanggungjawab juga harus dipersalahkan.

 

Harus ditekankan bahawa kestabilan politik adalah menjadi kebimbangan pelabur dan memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi negara.

 

Pada masa kini, kerajaan dan industri sedang giat menarik pelaburan asing dengan harapan dapat memperbaiki ekonomi yang lalu dengan secepat mungkin. Selain pada masa sama berusaha keras untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan pilihan bagi syarikat antarabangsa.

 

Kita sedar bahawa hanya dengan menarik pelabur asing sahaja, ekonomi negara dapat pulih lebih cepat daripada jangkaan.


 

tnb

 


Kesimpulannya, politik sepatutnya menjaga kebahagian hidup semua rakyat. Kerajaan perlu kembali kepada prinsip politik yang paling asas dan tidak terganggu dengan kemenangan atau kekalahan enam PRN. 

 

Kerajaan Perpaduan harus fokus mentadbir kerajaan pusat, membuka jalan untuk masa depan Malaysia dan meningkatkan pendapatan rakyat. Itulah cara dan strategi terbaik untuk menyahut tekanan referendum PRN. – DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 19 – 22 Julai 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

dagangnews