Drama menjelang 6 Pilihan Raya Negeri | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 06 May 2023 07:00 AM

DRAMA MENJELANG 6 PILIHAN RAYA NEGERI

Sin Chew Jit Poh, Oriental Daily dan Nanyang Siang Pao, 30 April-5 Mei 2023

 

 

MALAYSIA sedang berdepan dengan ketidakstabilan politik. Walaupun kerajaan berazam untuk melakukan pembaharuan, tetapi tetap tiada cara untuk berubah menjadi bentuk baharu.

 

Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti kerusi Parlimen berbanding Perikatan Nasional (PN). Namun PN telah mewujudkan keadaan di mana Kerajaan Perpaduan tidak dapat secara aktif melaksanakan dasar ekonomi yang berkesan untuk membantu rakyat mengatasi kesukaran hidup.

 

Khabar angin gugat Kerajaan Perpaduan

Terdapat khabar angin berhubung percubaan rancangan rampasan kuasa untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. Perkara ini mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tampil bersuara sampai bila rakyat hendak menanggung situasi cubaan menggagalkan kestabilan kerajaan.

 

Tetapi berapa ramai ahli politik yang mengejar kepentingan kuasa, benar-benar akan mendengar titah sultan. Rakyat sudah bosan dengan drama seperti ‘Langkah Sheraton’.

 

Belum sampai setengah tahun Kerajaan Perpaduan memerintah, masih berdepan dengan banyak ketidaktentuan dan PN sentiasa menunggu peluang dan tidak akan melepaskannya.


 

parafrasa

 


Konvensyen Kerajaan Perpaduan

Pemimpin parti komponen Kerajaan perpaduan akan mengadakan ‘Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan’ pada 14 Mei ini.

 

Tidak kira sama ada parti politik dalam Kerajaan Perpaduan terpaksa Bersatu atas kehendak Yang Dipertuan Agong atau kerana situasi ‘tergantung’ selepas Pilihan Raya Umum (PRU), yang pasti konvensyen yang diadakan sebelum enam Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah perlu dan tepat pada masanya.

 

Konvensyen dengan bertemakan ‘Malaysia Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’, akan memfokuskan perbincangan mengenai khidmat Kerajaan Perpaduan kepada rakyat. Sudah tidak masanya parti-parti yang memerintah tampil menunjukkan komitmen politik dalam menyelesaikan konflik negara.

 

Bolehkan mereka melepaskan dendam lama dan baru pada masa lalu, bersama-sama menyumbang kepada perancangan masa depan negara? Inilah masanya Kerajaan Perpaduan menunjukkan kesungguhan kepada rakyat dan pada masa sama menguji bagaimana menangani konspirasi menjatuhkan kerajaan.

 

Peranan pemimpin negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika berazam untuk menjadi ahli politik berjaya, maka masa depan negara harus diutamakan. Bermula dengan mengubah negara menjadi lebih baik, rakyat secara automatik akan berterima kasih dan terus memberi undi.

 

Meraih undi dengan cara ‘mengumpan’ bukan cara ahli politik yang budiman.  Ahli politik yang sentiasa berfikir tentang survival politik sendiri adalah tidak baik untuk negara.

 

Beberapa hari menjelang perayaan Aidilfitri, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membuat kenyataan ‘dapur DAP tidak halal’. Dipercayai tujuannya adalah untuk mencetus isu sebelum  enam Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.


 

parafrasa

 


Sementara itu, rumah terbuka Kerajaan Perpaduan pula diadakan di Selangor; Negeri Sembilan; Pulau Pinang; Kedah; Kelantan dan Terengganu, dianggap sebagai tarik undi sebelum pilihan raya. 

 

Jika majlis rumah terbuka ini tiada kaitan dengan politik, kenapa hanya memilih enam negeri ini sahaja, tetapi mengabaikan negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang?

 

Dijangka lebih banyak gimik dan drama politik selepas Hari Raya kerana DUN enam negeri yang disebutkan akan dibubarkan pada Jun dan pengundian akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

 

Usaha tidak mendapat ganjaran

Pertelingkahan yang melibatkan kaum dan agama ini, telah menyebabkan rakyat negara berpecah belah. Persaingan dalaman yang tidak rasional menyebabkan daya saing negara lemah dan aktiviti ekonomi keseluruhannya tidak dapat mencapai pertumbuhan yang lebih cemerlang.

 

Pelabur asing amat menitikberatkan perkembangan politik di Malaysia. Ketidakstabilan politik akan membawa kepada kemerosotan ekonomi, jadi pelabur enggan secara aktif memasuki pasaran dan masih menunggu melihat perubahan.

 

Persekitaran politik di Malaysia membimbangkan, terutamanya kenyataan-kenyataan ekstremis kaum dan agama telah menggoyahkan keharmonian negara. Kerajaan Perpaduan bersungguh-sungguh untuk menggalakkan pembaharuan politik tetapi tidak mendapat pulangan yang setara dengan usaha. Kerajaan juga tidak dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang baik dan meningkatkan daya saing perniagaan.

 

Apabila beribu-ribu jutawan China merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka di Singapura, mereka langsung tidak menganggap Malaysia sebagai satu lagi pilihan pelaburan. Dapat dilihat bahawa ketidakstabilan politik negara telah memberi kelebihan kepada Singapura dan sayang sekali kita hilang peluang tersebut.


 

parafrasa

 


Politik stabil ekonomi kukuh

Ramai ahli politik kanan PN adalah pemimpin negara. Mereka amat memahami bahawa kestabilan politik adalah cara untuk menarik wang, sebaliknya pergolakan hanya akan menakutkan pelaburan asing.

 

Apabila pelabur asing merasakan kerajaan baharu yang direstui ini diselubungi dengan khabar angin ‘akan jatuh bila-bila masa’ sejak penubuhannya hingga hari ini, adakah anda fikir ia akan menarik pelabur untuk terus kekal di Malaysia?

 

Situasi hari ini memperlihatkan masa depan ekonomi global yang tidak menentu; perang antara Rusia-Ukraine tidak diketahui penghujungnya; persaingan semakin sengit China-Amerika Syarikat dan inflasi yang melanda dunia. Dalam keadaan sedemikian, Malaysia tidak boleh terus bergaduh dalam politik.

 

Rakyat telah membuat pilihan

Pertelingkahan politik sepatutnya berakhir, lebih-lebih lagi selepas Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri (PM). Politik harus diketepikan buat sementara waktu agar tumpuan utama diberikan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi negara.

 

Pengundi telah pun memilih kerajaan mereka pada PRU lepas dan mengharapkan ia akan menjadi pengakhiran kepada perebutan kuasa. Tidak diduga, pertelingkahan berterusan dan bagaimana kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan ekonomi jika keadaan ini berterusan? Kehidupan rakyat semakin tertekan dan harga terus meningkat.

 

Rakyat berharap agar kerajaan dapat menumpukan usaha membangunkan ekonomi dan meringankan beban yang dipikul.


 

parafrasa

 


Kini tumpuan harus kembali kepada pemulihan ekonomi dan pada masa yang sama berhati-hati dengan penularan wabak baru. Walaupun ia adalah tanggungjawab kerajaan, parti pembangkang juga boleh menyumbang usaha mereka dengan kawal selia. Prestasi juga merupakan salah satu perhatian rakyat.

 

Hasil Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan akan menentukan sama ada kerajaan ini boleh pergi lebih jauh atau tidak. Jika semua visi yang baik hanya sedap didengar, walaupun tiada konspirasi jatuhkan kerajaan, nescaya sukar juga untuk Kerajaan Perpaduan meraih keyakinan rakyat.  – DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao, Oriental Daily dan Sin Chew Jit Poh 30 April - 5 Mei 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA