Mitos, realiti pemulihan ekonomi menurut Sin Chew & Oriental
Oriental Daily dan Sin Chew Jit Poh 11 Januari 2023
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, menumbangkan UMNO yang korupsi demi menyelamatkan negara telah menjadi slogan politik dan aspirasi Pakatan Harapan (PH) dan majoriti kaum Cina.
Dengan menyenaraikan beberapa tuntutan yang perlu diselamatkan antaranya, sistem politik dan reformasi kehakiman; anti rasuah; tadbir urus yang baik dan menentang ekstremisme.
Bagaimanapun tuntutan-tuntutan ini memerlukan masa untuk reformasi.
Begitu juga ekonomi, yang mana Kerajaan Perpaduan juga menyebut secara khusus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan merancakkan ekonomi negara akan menjadi keutamaan pada masa ini.
Bagaimanapun untuk memperjuangkan ekonomi, kita perlu menstabilkan politik terlebih dahulu agar situasi negara stabil.
Lagipun, sukar untuk menumpukan perhatian membaik pulih ekonomi apabila keadaan politik bergolak. Tetapi masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada keadaan politik boleh stabil atau tidak, sehinggalah keputusan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan nanti.
Kelembapan ekonomi global boleh jejas negara
Jika melihat keadaan ekonomi dalam dan luar negara, dari segi peningkatan ekonomi dan demokrasi adalah tidak optimistik.
Ramai orang percaya bahawa pertumbuhan ekonomi global tahun ini adalah terhad, malah ada yang percaya krisis hutang stagflasi mungkin berlaku. Jika ya, akibatnya akan membawa bencana.
Ini kerana stagflasi iaitu apabila inflasi yang tinggi dan pertumbuhan yang tidak stabil berlaku secara serentak, ditambah pula dengan krisis hutang yang tinggi maka tiada alat yang mencukupi untuk menyelamatkan ekonomi.
Oleh kerana Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka yang sangat bergantung kepada ekonomi antarabangsa, perdagangan asing menjadi keutamaan yang mana eksport sahaja menyumbang hampir 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jadi kelembapan ekonomi global secara langsung akan menjejaskan Malaysia.
Jerat pendapatan sederhana
Dari sudut faktor dalaman pula, sejak krisis kewangan Asia Timur 1997-98, Malaysia telah lama terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana dan sukar untuk ditembusi. Akibatnya timbul pelbagai masalah politik dan ekonomi.
Umum tahu bahawa salah satu syarat kestabilan politik adalah ekonomi dan sara hidup rakyat. Apabila ekonomi dan kehidupan rakyat semakin merosot, pelbagai rasa tidak puas hati akan timbul.
Sebagai contoh, Barisan Nasional (BN) hilang separuh kubunya pada tahun 2008 kerana kemerosotan ekonomi dan kehidupan rakyat ekoran kenaikan harga secara berterusan.
Kemudian pada tahun 2018, BN hilang kuasa pemerintahan kerajaan pusat apabila pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menjadi sasaran serangan parti pembangkang.
Sebenarnya, sudah bertahun-tahun paras gaji Malaysia tidak dapat bersaing dengan harga komoditi yang mempunyai faktor struktur mendalam.
Masalah ini tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata. Dalam erti kata lain, masalah kesukaran hidup rakyat hanya boleh diringankan tetapi sukar untuk diubati.
Tidak kira beberapa kali kerajaan bertukar atau tidak, masalah ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Jadi Kerajaan Perpaduan tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah ekonomi dan sara hidup rakyat dalam tempoh lima tahun.
Apa yang boleh dilakukan masih lagi dengan pemberian subsidi, bagi meredakan rungutan orang ramai atau sekurang-kurangnya menangguhkan penularan masalah yang lebih serius.
Bercakap mengenainya, masalah ini sebenarnya bukan sahaja berlaku di Malaysia. Kebanyakan negara di dunia, termasuk negara maju turut menghadapi masalah yang sama.
Dan tindak balas mereka pada dasarnya adalah melaksanakan langkah-langkah untuk merawat gejala dan bukannya punca.
Ini juga merupakan salah satu sebab utama mengapa jumlah hutang global terus meningkat. Sebagai contoh pada tahun 1999, jumlah hutang global menyumbang kepada kira-kira 200% daripada KDNK.
Dan menjelang 2021, ia meningkat dengan mendadak kepada 366%. Antaranya negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat mencecah 420%.
Sebaliknya negara membangun pula lebih rendah, contohnya Malaysia adalah kira-kira 250% di mana hutang korporat menyumbang kira-kira 100%, hutang isi rumah – 90%; hutang awam 63%, lebih tinggi daripada negara membangun yang lain.
Oleh kerana hutang awam terus meningkat, kerajaan perlu menanganinya dengan meminjam hutang baru untuk membayar hutang lama.
Jika benar-benar mahu menyelesaikan masalah secara asas, cara yang berkesan adalah menambahkan pendapatan menerusi peningkatan cukai dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, tetapi cara ini menemui jalan buntu.
Mana-mana rejim yang berani berbuat demikian, pastinya berdepan dengan risiko keruntuhan. Itulah yang berlaku pada tahun 2018, rejim Najib tumbang kerana pengenalan GST menjadi salah satu penyebabnya.
Tangguh masa ledakan
Sifat manusia pada asasnya mementingkan diri sendiri. Atas dasar ini, rakyat umumnya berharap kerajaan dapat memberi banyak faedah tanpa menaikkan cukai, terutamanya apabila gaji tidak dapat bersaing dengan harga.
Jadi, memang sudah ditakdirkan bahawa masalah ini tidak dapat benar-benar diselesaikan, hanya boleh diringankan atau ditangguhkan dulu masa ledakannya.
Dapat dijangkakan bahawa Kerajaan Perpaduan juga seperti kerajaan di seluruh dunia, iaitu membuat hutang baru untuk membayar balik hutang lama atau meneruskan kaedah cetak wang.
Perlu ditekankan juga, Malaysia lambat-laun akan memulakan semula GST seperti kebanyakan negara lain.
Cuma rejim yang bijak tidak akan melakukannya sendiri, sebaliknya akan menolak tanggungjawab itu kepada kerajaan akan datang. Keadaan ini juga yang menjadi punca kepada peningkatan hutang awam kebanyakan negara.
Hadkan perbelanjaan kerajaan
Walaupun sesetengah orang mencadangkan agar Perlembagaan digunakan untuk mengehadkan perbelanjaan kerajaan. Namun Perlembagaan juga dibuat oleh manusia dan ia boleh sahaja dipinda mengikut keperluan.
Di Malaysia masalah ini bersangkutan dengan unsur perkauman, kerana majoriti daripada kira-kira 1.7 penjawat awam adalah dari kalangan orang Melayu.
Jika kerajaan mahu mengecilkan saiz, mesti terlebih dahulu berdepan dengan risiko keruntuhan. Selain itu bilangan penjawat awam yang telah bersara juga hampir mencecah satu juta.
Dalam era digital, walaupun terdapat lebihan penjawat awam tetapi adalah sukar untuk memindahkan mereka ke sektor swasta, meskipun Malaysia kini berhadapan dengan isu kekurangan tenaga kerja yang serius.
Kesimpulannya, walaupun tidak berlaku kemelesetan besar dalam ekonomi global, ekonomi Malaysia tidak akan meningkat secara ajaib terutamanya kehidupan rakyat.
Ini kerana dalam keadaan inflasi, tidak mungkin dapat meningkatkan paras gaji dalam tempoh 5 tahun. – DagangNews.com
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily 11 Januari 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.