PRN 6 negeri berpotensi gugat Kerajaan Perpaduan? - Analisis Nanyang Siang Pao
POLITIK Malaysia semakin hari berubah ke arah politik Korea Selatan. Bermula dengan pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian Datuk Seri Najib Razak dan hari ini giliran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keadaan ini menunjukkan bahawa jawatan dan kedudukan tinggi adalah sangat berisiko.
Selepas Najib didakwa melakukan rasuah dan salah guna kuasa dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dimasukkan ke penjara. Kali ini bekas Perdana Menteri (PM) Malaysia kelapan pula dituduh rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sama seperti yang berlaku kepada presiden-presiden Korean Selatan, dari Park Geun-Hye kemudian Lee Myung-Bak dipenjarakan kerana rasuah. Manakala pula Roh Moo-hyun pula membunuh diri kerana skandal rasuah.
PRN boleh gugat Kerajaan Perpaduan
Tuduhan ke atas Muhyiddin dan Najib semuanya berlaku selepas rejim bertukar tangan, sehingga membuatkan orang ramai mempersoalkan tindakan tersebut berbaur politik.
Hari ini, Perikatan Nasional (PN) menggunakan kes ini untuk menimbulkan gambaran penganiayaan politik bagi meraih sokongan dan simpati rakyat. Oleh kerana PM mempunyai kadar sokongan yang tinggi dalam masyarakat Melayu, nescaya sedikit sebanyak ia akan memberi kesan yang sangat ketara.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini membuat kenyataan bahawa ‘parti pembangkang berhak merancang dan menggulingkan kerajaan, tiada siapa boeh menghalang’. Tujuannya adalah untuk menggoyahkan keharmonian dalaman Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Mengikut tinjauan pendapat yang dijalankan sempena 100 hari tempoh pemerintahan kerajaan Anwar, menunjukkan kadar sokongan orang Melayu tidak tinggi dan PN menyerlahkan ketidakstabilan kerajaan Anwar berdasarkan prestasi buruk selama 100 hari.
PN pada PRU yang lepas telah berjaya mencetuskan ‘gelombang hijau’ dan kadar sokongan orang Melayu telah meningkat dengan ketara.
PN juga telah meletakkan sasaran mereka pada 6 Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan selewat-leatnya pada bulan September ini. Mereka yakin dengan ‘gelombang hijau’ yang masih ada, PN dapat merampas Negeri Sembilan dan Selangor dari tangan Pakatan Harapan (PH).
Tindakan SPRM mendakwa Muhyiddin ketika 6 PRN hampir diadakan, membuatkan PN percaya bahawa ia adalah ‘buruan politik’ untuk menghalang PN daripada mencapai keputusan yang baik dalam 6 PRN.
Bersatu dan PAS telah menggerakkan orang ramai untuk menyokong Muhyiddin. Jadi sekiranya PN dapat membuktikan majoriti besar pengundi Melayu masih menyokong mereka dalam 6 PRN ini, nescaya UMNO pasti tidak akan senang duduk dan konflik dalaman kerajaan Anwar akan timbul.
Dalam hal ini, Anwar terlebih dahulu menafikan tuduhan dan menyatakan bahawa siasatan SPRM ke atas Muhyiddin adalah bebas. Jika siasatan adalah berdasarkan motif politik, maka SPRM tidak dapat menangkap sesiapa pun dan semua kes rasuah besar akan digugurkan.
Impak kempen anti rasuah Anwar
Selepas Anwar berkuasa, beliau begitu bersungguh-sungguh untuk memerangi rasuah dan tidak akan membezakan parti atau pun kedudukan. Bagaimanapun, pendakwaan terhadap Muhyiddin mungkin akan menyebabkan kerajaan Anwar tidak popular di kalangan pengundi konservatif yang majoritinya adalah orang Melayu. Jadi Anwar perlu bersedia dari segi mental.
Penganalisis politik, Prof. Wong Chin Huat telah menulis di laman Facebook beliau menyetakan bahawa tuduhan Muhyiddin akan menjadi serampang dua mata dalam politik Melayu. Orang ramai tidak akan lagi melihat PN sebagai pengganti kepada UMNO.
Dan ada yang akan melihat Muhyiddin sebagai syahid politik, malah mungkin secara sinis merusmuskan bahawa semua ahli politik adalah kotor.
Tetapi jika Anwar dapat membuktikan bahawa tindakan kerajaan membanteras rasuah adalah adil, tidak pilih kasih dan bukan dendam politik, maka Kerajaan Perpaduan ini akan selamat dan rakyat juga tidak perlu risau tentang ketidakstabilan politik.
Tun Mahathir bakal disiasat SPRM?
Sementara itu, Tun Dr Mahathir yang tewas pada PRU lepas, kini bukan sahaja hilang populariti malah menjadi bahan sindiran. Ramai yang dulu pernah menyokong kini geleng kepala kerana mendapati kata-katanya tidak konsisten.
Daripada kata-kata Anwar, kita tidak menolak bahawa ikan besar yang akan disiasat SPRM seterusnya adalah Tun Mahathir. Selama bertahun-tahun, Mahathir sangat diperlukan untuk perubahan politik negara.
Parti-parti Melayu seperti UMNO, Bersatu malah mereka yang memegang jawatan PM selepas persaraannya termasuklah Anwar, semuanya sangat dipengaruhi oleh Mahathir. Cuma dendam antara Mahathir dan Anwar tidak mungkin boleh dilenyapkan begitu sahaja.
Sepanjang setengah abad yang lalu, kita sering melihat kemahiran Mahathir melancarkan serangan. Bukan sahaja kepada Anwar tetapi serangannya kepada semua orang yang tidak disukainya. Dalam dunia Mahathir, dia tidak pernah membuat salah. Sekiranya pengundi tidak memilihnya, maka ini adalah kesilapan pengundi.
Penganiayaan politik
Diktator dan penganiayaan politik menjadi istilah yang paling kerap digunakan oleh parti pembangkang untuk membantah tindakan parti pemerintah.
Anwar baru-baru ini berikrar bahawa beliau tidak gentar dengan muslihat parti pembangkang untuk mengacau negara dan menghasut orang ramai turun ke jalan raya.
Walaupun Anwar mendapat sokongan dua pertiga kerusi dan telah berjaya mengharungi 100 hari pertama menjadi PM, namun beliau masih perlu berhati-hati terhadap segala bentuk provokasi dan fitnah terutamanya berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam.
Anwar sememangnya sedang berlumba dengan masa dan mengharapkan sebelum 6 PRN diadakan, beliau akan mendapat sokongan majoriti orang Melayu agar dapat duduk kukuh di kerusi PM. - DagangNews.com
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 21-23 Mac 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.