Aset rizab rasmi Malaysia susut kepada AS$114.28 bilion pada akhir Februari 2024 - BNM | DagangNews Skip to main content

Aset rizab rasmi Malaysia susut kepada AS$114.28 bilion pada akhir Februari 2024 - BNM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Aset rizab rasmi Malaysia kepada kepada AS$114.28 bilion pada akhir Februari 2024 berbanding AS$114.85 bilion pada Januari 2024 berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

 

Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada akhir Februari 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menjelaskan aset mata wang asing lain berjumlah AS$202.7 juta.

 

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Disember 2023 tetap boleh guna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Menurut BNM mengikut format SDDS IMF, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain,  jangkaan serta prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$16.33 bilion.

 

“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara,” katanya.

 

Bank pusat juga memaklumkan kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$22.58 bilion pada akhir Februari 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

 

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

 

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.45 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang, katanya.

 

Menurut BNM, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negera dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$400.9 juta.

 

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung pilihan, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

 

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga pilihan mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.- DagangNews.com