Aurelius Healthcare jalin kerjasama ketiga dengan pegangan majoriti dalam Pusat Perubatan Pahang | DagangNews Skip to main content

Aurelius Healthcare jalin kerjasama ketiga dengan pegangan majoriti dalam Pusat Perubatan Pahang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Aurelius Healthcare Sdn. Bhd. jalin kerjasama ketiga dengan pegangan majoriti dalam Pusat Perubatan Pahang dan akan menjenamakan semula hospital itu kepada Hospital Aurelius Pahang.

 

Pengambilalihan itu adalah yang ketiga selepas kejayaan mereka mengambil alih hospital di Nilai, Negeri Sembilan dan Alor Setar, Kedah masing-masing pada 2021 serta 2022.

 

Langkah itu adalah sejajar dengan objektif untuk mengembangkan pasaran kumpulan itu di Pantai Timur.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama itu dengan PMC terletak di lokasi yang strategik, dan kedudukannya untuk berkhidmat kepada masyarakat Pahang akan terus diperkukuh dengan sokongan kumpulan doktor dan profesional penjagaan kesihatan yang berdedikasi.

 

Beliau berkata, hospital 64 katil itu akan diubah menjadi hospital tertiari dengan 150 katil dan pihaknya akan memberi penekanan yang lebih besar pada penjagaan kanser. 

 

"Selain itu, kami akan mengembangkan Pusat Kecemerlangan Wanita & Kanak-kanak, ortopedik, disiplin pembedahan minima invasif, kardiologi dan neurosains. 

 

"Melalui transformasi ini, kami menyasarkan pesakit, doktor, pekerja, rakan kongsi dan komuniti yang kami berkhidmat mempunyai pengalaman yang lebih baik dan menerima hasil klinikal yang diingini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Rakan Pengurusan Bersama dari Navis Capital Partners, Datuk Seri Nicholas Bloy berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada kepelbagaian portfolio Aurelius Healthcare bagi mengembangkan perkhidmatan kesihatan di Pahang.

 

"Saya gembira dengan perkongsian kami dengan Aurelius Healthcare kerana ia akan menandakan permulaan baharu bagi komuniti dan mendorong kami mengembangkan perkhidmatan perubatan kami untuk memasukkan lebih ramai pakar dan profesional penjagaan kesihatan untuk memenuhi keperluan pesakit di rantau ini," kata Pengerusi Lembaga Pengarah PMC, Datuk Shahrul Nizam bin Abdul Aziz. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, pihaknya teruja untuk bergabung tenaga dengan Aurelius Healthcare untuk berkhidmat kepada rakyat Pahang dan negeri-negeri Pantai Timur yang lain di Malaysia. 

 

"Sementara MUIP telah juga menceburi perniagaan perladangan, hospitaliti dan runcit, perkongsian ini akan membolehkan kami mengembangkan perkhidmatan kami dan menyumbang kepada keperluan penjagaan kesihatan komuniti kami," katanya.  - DagangNews.com