Axis REIT ambil alih kompleks perindustrian, kawasan simpanan Lion Industries berharga RM351.8 juta di Klang | DagangNews Skip to main content

Axis REIT ambil alih kompleks perindustrian, kawasan simpanan Lion Industries berharga RM351.8 juta di Klang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) bercadang mengambil alih kompleks perindustrian dan kawasan simpanan terbuka di Klang dengan bayaran tunai RM351.8 juta daripada unit Lion Industries Corp Bhd.

 

Pemegang amanah REIT, RHB Trustees Bhd, telah memeterai perjanjian untuk membeli aset yang terletak di Taman Perindustrian Bukit Raja daripada Amsteel Mills Sdn Bhd, yang 99% dimiliki oleh Lion Industries.

 

Kompleks perindustrian itu, meliputi kawasan seluas hampir 24.3 hektar dan bersebelahan dengan hartanah sedia ada Axis REIT, Axis Facility 2, dibeli dengan harga RM313 juta.

 

Sementara itu, harga belian kawasan simpanan terbuka seluas 2.88 hektar yang terletak di seberang Axis Facility 2 ialah RM38.8 juta.

 

Axis REIT berkata, pengambilalihan itu akan dibiayai oleh pembiayaan bank sedia ada. Menurut penyata kewangan terkini REIT, tunai dan baki banknya berjumlah RM7.79 juta, manakala pembiayaan bank berjumlah RM1.55 bilion pada akhir 2023.

 

Mengenai rasional pengambilalihan itu, Axis REIT berkata, ia melihat hartanah itu sebagai aset berkualiti tinggi yang bakal menyumbang pendapatan sewa berulang yang kukuh.

 

"Cadangan pemerolehan hartanah itu akan menjadi tambahan kepada pendapatan boleh agih Axis REIT dan menambah portfolio hartanah yang akan memanfaatkan dana dalam jangka panjang," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pengambilalihan kompleks perindustrian itu, yang dijangka siap pada suku keempat tahun ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan REIT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Sementara itu, kawasan simpanan terbuka dijangka menyumbang kepada pendapatan sewa Axis Reit menjelang akhir 2025 selepas penghantaran pemilikan kosong bermula pada akhir 2025.

 

Lion Industries, dalam pemfailan berasingan, berkata hasil daripada penjualan dua hartanah itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank dan untuk keperluan modal kerja. - DagangNews.com