Bank Islam jangka tahun 2024 tawar prospek ekonomi mencabar disebabkan tekanan inflasi | DagangNews Skip to main content

Bank Islam jangka tahun 2024 tawar prospek ekonomi mencabar disebabkan tekanan inflasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Bank Islam Malaysia Bhd menjangkakan tahun 2024 menawarkan prospek ekonomi yang mencabar terutama selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan sederhana disebabkan tekanan inflasi. 

 

Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, IMF meramalkan penurunan perkembangan ekonomi daripada 3% pada 2023 kepada sekitar 2.7% hingga 2.9% pada tahun ini dengan kebanyakan ekonomi bergelut untuk mengimbangi momentum pertumbuhan menentang tekanan inflasi dan dasar monetari yang ketat.

 

"Potensi pemulihan sektor teknologi akan mempengaruhi pasaran kewangan di seluruh dunia dan memberi kesan kepada dinamik sektor perbankan daripada kadar pinjaman kepada aliran pelaburan," katanya dalam Laporan Tahunan 2023 yang diterbitkan di Bursa Malaysia.

 

Beliau berkata, di Malaysia, prospek ekonomi dilihat lebih rancak dengan petumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencecah sehingga 4.7% disokong oleh sektor pelancongan yang rancak dan keadaan perdagangan yang bertambah baik. 

 

Katanya, sektor kewangan Malaysia dijangka mencerminkan trajektori positif, memanfaatkan peningkatan perbelanjaan pengguna dan aliran masuk pelaburan.

 

bank islam
Tan Sri Dr Ismail Bakar

 

"Bagaimanapun, sektor perbankan mesti mengemudi risiko berkaitan dengan turun naik ekonomi global serta pelarasan dasar domestik," katanya.

 

Ismail berkata, Bank Islam akan menyepadukan analisis pasaran dengan produk yang memberi tumpuan kepada pelanggan yang inovatif selain mengembangkan perkhidmatan digital mereka.

 

Beliau berkata, strategi itu bertujuan untuk memberi reaksi secara berkesan kepada keperluan pelanggan yang berkembang dan memanfaatkan trajektori pertumbuhan positif yang diunjurkan untuk negara ini.

 

"Dengan itu, kami berhasrat untuk bukan sahaja mengharungi cabaran tetapi menjadi lebih kukuh, menjamin kemajuan yang mampan untuk pemegang kepentingan kami dan mengukuhkan komitmen kepada kecemerlangan iklim ekonomi yang tidak menentu," katanya.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM553.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), peningkatan sebanyak 12.5% berbanding tahun sebelumnya. - DagangNews.com