CIMB Securities lengkapkan 'pendekatan satu bank', tawar perkhidmatan perbankan borong bersepadu | DagangNews Skip to main content

CIMB Securities lengkapkan 'pendekatan satu bank', tawar perkhidmatan perbankan borong bersepadu

Majlis pelancaran CIMB Securities yang disempurnakan Amir Hamzah Azizan, Mohd Nasir Ahmad dan Abdul Rahman Ahmad di Kuala Lumpur hari ini. - Gambar CIMB
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Mei - CIMB Securities Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh CIMB Investment Bank Berhad menyasarkan pertumbuhan satu digit yang tinggi dalam bahagian pasaran menjelang akhir tahun sekali gus merangsang pertumbuhan pasaran modal Malaysia.

 

Ini juga sejajar dengan strategi menyeluruh Kumpulan CIMB untuk meningkatkan keupayaan dalaman dan melengkapkan perniagaan perbankan borong di Malaysia.

 

CIMB Securities menawarkan penyelesaian inovatif dengan perkhidmatan broker saham dan ekuiti bersepadu serta mencipta nilai untuk pelanggan institusi dan korporatnya melalui 'pendekatan satu bank'.

 

Majlis pelancaran CIMB Securities disempurnakan oleh Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, bersama Datuk Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi CIMB Group dan Datuk Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group.

 

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara hari ini ialah Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Borong Kumpulan CIMB; Ruzi Rani Ajith, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Securities.

 

Pada 8 Februari lalu, CIMB Group Holdings Berhad telah menyelesaikan pengambilalihan KAF Equities Sdn Bhd menerusi bank pelaburannya, CIMB Investment Bank Berhad dan dijenamakan semula sebagai CIMB Securities Sdn Bhd. 

 

Kumpulan itu berkata, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi bank tersebut untuk mengembangkan keupayaan dalaman, yang melengkapkan perniagaan Perbankan Borong kumpulan di Malaysia.

 

Sementara itu, CIMB Securities berkata, saiz pasaran ekuiti awam Malaysia yang berjumlah RM2 trilion menjadikannya salah satu bidang ekonomi yang paling penting.

 

Katanya, sebagai pemain utama dalam pasaran, CIMB Securities komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mengekalkan, membangun dan menambah baik pasaran modal Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CIMB selesai ambil alih KAF Equities, dijenamakan sebagai CIMB Securities

 

"Berikutan pemerolehan KAF Equities pada 8 Februari 2024, CIMB Securities menyatukan kuasa bakat, pengalaman serta inovasi dan telah mencapai kemajuan yang ketara sejak itu.

 

"Pada Januari 2024, ia berada di kedudukan ke-22 dalam Kedudukan Broker Bursa dengan prapemerolehan bahagian pasaran 0.7%. Bahagian pasarannya telah berkembang kepada 4.54%, memegang kedudukan ke-9 pada Mac 2024.

 

"CIMB Securities sudahpun mencapai kemajuan yang baik di mana dalam dua bulan pertamanya, CIMB Securities telah mengantara RM6.3 bilion dagangan blok, termasuk penjualan saham AmBank oleh ANZ sebanyak RM2.1 bilion, perdagangan blok ekuiti terbesar di Malaysia sejak 2017," kata kenyataan itu.

 

cimb 2
RUZI RANI AJITH

 

Sementara itu, Novan berkata, kemasukan CIMB Securities ke pasaran mengukuhkan ekosistem Kumpulan, melengkapkan nilai Perbankan Borong yang komprehensif untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan melalui pendekatan ‘satu bank’.

 

"Kami berbesar hati untuk bertindak sebagai pintu masuk utama dan agensi utama dalam memudahkan perdagangan aliran masuk dan keluar dalam pasaran modal Malaysia.

 

"Mengguna pakai pendekatan berstruktur dan berperingkat, kami mempunyai pelan hala tuju yang jelas untuk masa hadapan di mana kami akan mula memfokuskan pada pasaran borong dan kemudian menumpukan pada segmen runcit dan kekayaan," katanya dalam ucapan pada majlis itu.

 

Kata beliau, CIMB Securities akan bekerjasama dengan pemain antarabangsa dan serantau, untuk membawa kandungan dan idea antarabangsa kepada pelanggan, tetapi tanpa kos pasukan "di lapangan" di rantau ini. 

 

"Kami juga melabur dalam teknologi untuk meningkatkan perniagaan pada masa yang sesuai.

 

“Kami komited untuk menjalin perkongsian dalam kedua-dua pasaran serantau dan maju, mewujudkan rangkaian yang memacu pertumbuhan, daya tahan dan kebolehsuaian," jelasnya.

 

Menurut beliau, CIMB Securities menggabungkan perspektif global dengan kepakaran setempat, memastikan risikan pasaran bukan sahaja menyeluruh tetapi berkonteks.

 

"Sintesis unik ini membolehkan kami memberikan pandangan yang bergema dalam pelbagai pasaran, memacu kejayaan pelaburan untuk pelanggan kami pada skala global.” tambah Novan.- DagangNews.com