Saudara Pengarang,
KEMAJUAN sains dan teknologi secara progresifnya telah mendominasi sebahagian besar kehidupan kita seharian. Dalam era pandemik COVID-19, teknologi dilihat sebagai “penyelamat” yang mana ia membantu kita untuk terus berhubung antara satu sama lain.
Secara praktikalnya dapat difahami bahawa, pandemik dan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan memisahkan kita dengan segenap kelompok masyarakat dan ahli keluarga secara fizikal, tetapi teknologi kekal menghubungkan kita secara maya, bak kata orang lama-lama “berpisah di mata, di hati jangan”.
Namun dalam kita tidak sedar, teknologi yang asalnya digunakan sebagai penghubung, pemudahcara dalam urusan seharian kita boleh memberi kesan negatif jika tidak diurus sebaiknya.
Kebelakangan ini, “ketagihan digital” sudah mula menjadi isu yang hangat dibincangkan dalam segenap kelompok masyarakat yang mulai sedar mengenai kesan buruknya.
Ketagihan digital ini boleh digambarkan sebagai suatu situasi yang mana keterlibatan yang berlebihan atau tidak terkawal terhadap permainan secara dalam talian atau “gaming”, media sosial (WhatsApp, Wechat, Telegram, Twitter, Instagram, dan lain-lain) oleh sesetengah individu yang terlalu fanatik khususnya golongan remaja dan kanak-kanak.
Sebelum kemelut pandemik COVID-19 bertapak di muka bumi, kebanyakan ibu ayah dan golongan profesional sangat bimbang terhadap penggunaan gajet khususnya telefon mudah alih dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang secara fitrahnya belum mahir menggunakan peralatan ini secara bijak dan efisien.
Namun fenomena Pandemik COVID-19 ini mambataskan sebahagian besar aktiviti seharian kita dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan yang menyasarkan kepada penjarakan sosial, kuarantin, penutupan sekolah dan lain-lain institusi pendidikan dan home confinement untuk mengurangkan kebarangkalian berlaku jangkitan virus durjana ini. Justeru, tercetuslah kebimbangan tentang penggunaan internet yang tidak terkawal dan ketagihan digital dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Pertukaran paradigma pembelajaran dan kelas online mengundang dilema di kalangan ibu bapa dan limitasi screen time anak-anak. Dalam situasi tertekan dan keterpaksaan, ibu bapa cuba untuk rela dan membenarkan anak-anak mendapat akses internet menggunakan telefon pintar supaya anak-anak tidak keciciran dalam pembelajaran.
Inilah antara peperangan emosi terbesar yang dihadapi oleh ibu bapa dalam mengawal anak-anak agar mereka tidak dihanyutkan dek arus teknologi. Persoalannya, “Adakah anak-anak kita cukup “pintar” menggunakan Telefon Pintar?
Kekalutan PKP lebih dirasai apabila segenap ibu bapa terpaksa Bekerja Dari Rumah (BDR). Di sini lah bermula titik tolaknya, yang mana ada kalangan ibu bapa yang rebah di pertengahan pertempuran antara BDR and kelas “online” anak-anak. Masa di depan skrin dalam kalangan anak- anak untuk sesi pembelajaran secara maya dikeruhkan pula dengan kewujuan permainan maya “online game” dan hiburan digital di Youtube. Dengan ini, kanak-kanak dan remaja berdepan kemelut dan risiko ketagihan digital.
Antara faktor yang menyumbang kepada pendedahan dan risiko ketagihan digital adalah kemudahan akses terhadap gajet dan internet, kekurangan sumber hiburan luar rumah, peningkatan penggunaan digital ibu bapa dan media digital adalah satu-satunya laluan yang membenarkan masyarakat kekal berhubung dengan dunia luar sepanjang tempoh Pandemik COVID-19 ini yang masih belum berkesudahan. Bertitik tolak dengan ini, kanak-kanak dan remaja secara tidak langsung terdedah kepada risiko ketagihan digital.
Kebanyakan ibu bapa yang bekerja dari rumah, banyak menghabiskan masa di depan komputer masing-masing menyelesaikan tugasan kerja sehari suntuk mengikut kiraan waktu ebrkerja normal 8 pagi - 5 petang. Untuk mengurangkan kebosanan anak-anak yang juga terkurung di rumah tidak dapat ke sekolah menjalani rutin pembelajaran seperti biasa, maka anak-anak diberi akses internet dan gajet yang akhirnya tidak dapat dikawal aspek masa penggunaannya, tempoh untuk berehat untuk melayari internet dan peralatan digital.
Antara faktor lain juga bertitik tolak daripada kekangan terhadap interaksi sosial dan komunikasi fizikal termasuk aktiviti luar rumah yang sudah berlarutan dalam tempoh berpanjangan sejak Mac 2020 hingga kini, akhirnya mendesak ibu bapa untuk membenarkan anak-anak untuk menjalani kehidupan dalam mod norma baharu dengan menggunakan aplikasi digital, penggunaan gajet, pengaksesan internet sebagai alternatif untuk tujuan rekreasi dan santai minda.
Sebagai rumusan, ketagihan digital ini juga akan menjadi suatu isu kesihatan mental di peringkat nasional dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara kita impak dari Pandemik COVID-19. Dengan itu, ibu bapa adalah ikon yang paling dekat dengan kanak-kanak dan remaja untuk cuba mengamalkan pendekatan yang seimbang dan harmoni antara dunia digital dan dunia nyata untuk terus mengekalkan hubungan sesama insan dan kesejahteraan psikologi khususnya di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Ini kerana dalam setiap institusi keluarga atau isi rumah pasti akan ada kanak-kanak dan remaja. Setiap individu dan entiti masyarakat perlu secara proaktif terlibat untuk mencari penyelesaian kemelut dan risiko ketagihan digital ini daripada terus berlarutan dan mengelak daripada berlakunya epidemik ketagihan digital di masa akan datang.
SITI MARIAM ALI
Pensyarah Kanan,
Jabatan Ekonomi & Kewangan,
Fakulti Pengurusan Perniagaan,
UiTM Cawangan Melaka