Datuk Lee Chong Wei tubuh pusat fisio dan rehabilitasi sukan bernilai RM3 juta | DagangNews Skip to main content

Datuk Lee Chong Wei tubuh pusat fisio dan rehabilitasi sukan bernilai RM3 juta

(Dari kiri) Datuk Lee Chong Wei, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Datuk Seri Lee Tian Hock dan Datuk Mike Tee Swee Guan ketika pelancaran Pusat Fisio dan Rehab Sukan SOUL pada 26 April 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Malaysia mengalu-alukan Pusat Fisio dan Rehab Sukan SOUL yang pertama dan bertaraf dunia, diasaskan oleh legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bersama Datuk Mike Tee Swee Guan, dan Datuk Seri Lee Tian Hock. 

 

Terletak di 163 Retail Park, Mont Kiara, pusat itu menyediakan penjagaan pencegahan dan pemulihan untuk atlet dan ahli sukan rekreasi dalam mencapai prestasi puncak.

 

Mike yang juga Pengerusi MJHM Holdings Sdn Bhd berkata, pengesanan awal dan intervensi, selalunya boleh menghalang kecederaan ringan daripada menjadi yang besar.

 

Katanya, dengan peralatan dan sistem berteknologi tinggi, pusat ini boleh membantu memperbaiki postur dan keadaan badan orang ramai untuk mengelakkan sakit otot. 

 

"Selain itu, ahli terapi dan jurulatih kami yang berkelayakan adalah daripada latar belakang fisioterapi dan sains sukan, membolehkan kami menyediakan pelan pemulihan dan latihan yang tepat. 

 

"Pusat utama seluas 7,100 kaki persegi ini direka dengan ciri moden yang berbeza daripada imej stereotaip pusat pemulihan. Sebanyak RM3 juta telah dilaburkan di pusat ini, dan kami berharap untuk menubuhkan pusat tersebut di negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor Bahru tahun depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Chong Wei pula berkata, sebagai ahli sukan, beliau benar-benar memahami kepentingan pencegahan dan prosedur yang betul untuk merawat kecederaan. 

 

 

lcw

 

 

Justeru katanya, penubuhan pusat pemulihan sebegini sudah dekat di hatinya selama bertahun-tahun dan akan menjadi keutamaan beliau selepas bersara daripada industri sukan.

 

"Pusat ini akan memberi pendidikan tentang teknik dan strategi pencegahan kecederaan. Kami juga akan mengesyorkan peralatan dan program latihan yang sesuai untuk mengurangkan risiko kecederaan," katanya.

 

Dalam pada itu, Lee yang juga Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), mengulas kecederaan sukan berleluasa dalam kalangan atlet.

 

 

lcw

 

 

“Saya telah memikirkan cara untuk meminimumkan kesan daripada kecederaan dalam kalangan pemain bola keranjang, yang telah membawa kepada penubuhan SOUL hari ini," katanya.

 

Katanya, mereka berhasrat untuk melakukan penilaian keadaan fizikal secara tetap untuk mengenal pasti potensi risiko dan mengesyorkan tindakan pembetulan. - DagangNews.com