KUALA LUMPUR 16 Mei - Kerjasama yang dimeterai antara PT PAL Indonesia (PT PAL) melawat Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (Lunas) diterjemahkan dengan lawatan delegasi peringkat tinggi syarikat ke Lumut, Perak.
Ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 antara kedua-dua syarikat.
Pada DSA 2024, Lunas juga telah dianugerahkan kontrak untuk penyelenggaraan semula frigat KD Jebat sebagai sebahagian daripada program membaik pulih kapal TLDM yang sedang dijalankan.
Delegasi PT PAL ini diketuai oleh Pengarah Pemasaran, Willgo Zainar dan Pengurus Besar Pemasaran, Teguh Supriyantorodan.
Selain diberi penerangan tentang operasi syarikat, delegasi dibawa meninjau fasiliti di limbungan Lunas termasuk melihat kemajuan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Lawatan ini menandakan komitmen kedua-dua syarikat untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama bagi manfaat bersama.
MoU itu meletakkan asas untuk kerjasama masa hadapan dalam pembinaan kapal dengan tumpuan untuk membangunkan penyelesaian inovatif dan memacu kemajuan dalam industri.
Walaupun tidak dinyatakan tetapi MoU tersebut dipercayai bagi kerjasama untuk pembinaan kapal sokongan pelbagai fungsi (MRSS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
PT PAL sebelum ini pernah memeterai kerjasama dengan entiti lama Lunas, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi tujuan sama.
PT PAL menawarkan kapal kelas Makassar seberat 12,000 tan sebagai pilihan bagi kapal MRSS TLDM.
Model kapal tersebut pernah dipamerkan PT PAL semasa menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA) 2019.
Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Oktober lalu memutuskan perolehan MRSS akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 yang bermula pada tahun 2026.
Bermakna berbaki dua tahun untuk mana-mana pihak yang ingin terlibat dalam projek MRSS ini melakukan persediaan termasuklah pada syarikat tempatan yang berminat.
Pada satu aspek, pemilihan PT PAL sebagai rakan firma bagi pembangunan projek MRSS TLDM sangat tepat kerana kepakaran syarikat terbabit.
Sehingga kini PT PAL telah membina 7 buah kapal MRSS kelas Makassar termasuk dua model eksport yang dibeli Filipina.
Berpuas hati dengan kemampuan kapal tersebut Filipina kini memesan dua buah lagi kapal sama bagi mengukuhkan logistik maritim tentera laut.
Melalui perkongsian ini, Lunas dan PT PAL berhasrat untuk memperkukuh keupayaan maritim di Asia Tenggara, sekali gus menyumbang kepada keselamatan serantau dan pertumbuhan ekonomi dalam sektor maritim.
Kerjasama itu memberikan peluang menarik untuk perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi, dan inisiatif penyelidikan dan pembangunan bersama.
Dengan bekerjasama, Lunas dan PT PAL dapat menembusi sempadan industri maritim dan pertahanan.
Ini juga memberi petanda positif kepada industri maritim negara.
Perkongsian ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua syarikat tetapi juga menggariskan komitmen bersama mereka mempromosikan kepentingan maritim serantau. - DagangNews.com