Dua Perspektif Pada Setiap Isu: Impak Positif Agensi Pelaporan Kredit | DagangNews Skip to main content

Dua Perspektif Pada Setiap Isu: Impak Positif Agensi Pelaporan Kredit

Oleh Nazri MI, Sri Hartamas, Kuala Lumpur

SAYA terbaca tentang kes mahkamah baru-baru ini yang melibatkan sebuah agensi pelaporan kredit, di mana keputusan mahkamah tidak berpihak kepada agensi berkenaan.

 

Keputusan ini telah membawa pelbagai kritikan terhadap agensi tersebut, tanpa mengambil kira impak positif agensi pelaporan kredit kepada landskap kewangan sesebuah negara. 

 

Pada realitinya, agensi pelaporan kredit memainkan peranan penting dalam menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti kewangan.

 

Melalui skor dan laporan kredit, agensi pelaporan secara langsung memberi kuasa kepada individu dan bisnes membuat keputusan kewangan yang berinformasi.

 

Laporan agensi pelaporan amat penting bagi institusi pinjaman menilai kelayakan kredit peminjam, memudahkan amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab, dan mengurangkan risiko keingkaran.  

 

Laporan kredit juga penting bagi bisnes dalam menilai rakan kongsi, vendor, dan pelanggan. Ia dapat membantu bisnes dan individu menilai tahap kesihatan kewangan dan kestabilan rakan kongsi, di samping mengurangkan risiko dan melindungi kepentingan bisnes mereka.

 

Malah, saya sendiri  pernah hampir terpengaruh dengan sebuah syarikat yang dipertimbangkan sebagai rakan kongsi dan pembekal jangka panjang.

 

 

iktisad

 

 

Pada dasarnya syarikat itu menunjukkan reputasi baik dengan gambaran rekod prestasi yang amat positif. Walau bagaimanapun, saya telah dinasihati Setiausaha Syarikat untuk turut meneliti syarikat berkenaan melalui pelaporan kredit CTOS, yang menunjukkan rekod kredit yang terlalu lemah. 

 

Saya bersyukur kerana tidak terburu-buru membuat keputusan, kerana selang setahun kemudian, syarikat berkenaan telah jatuh bangkrap dan turut memberi kesan kewangan kepada bisnes-bisnes yang berkaitan.

 

Memandangkan pengalaman ini, saya ingin menekankan betapa pentingnya peranan agensi seperti CTOS yang dapat menghindar individu and bisnes dari terjebak ke dalam urusan yang bakal membawa kehancuran bisnes.  

 

Punca-punca

Perlu diingatkan bahawa skor kredit yang rendah berpunca dari pelbagai faktor seperti kekerapan lewat bayaran, hutang yang tinggi, kebankrapan, atau sejarah keingkaran pinjaman.

 

Sikap sambil lewa dalam membuat pembayaran, dan kelewatan membayar bil atau pinjaman berulangkali akan mengakibatkan skor kredit rendah, yang mencerminkan ketidakstabilan kewangan.

 

Kegagalan untuk menguruskan hutang dengan berkesan atau melampaui had kredit akan lebih memburukkan keadaan.

 

 

wainuiomata

 

 

Sikap kebertanggungjawaban dalam mengurus kewangan dan mengekalkan amalan bayaran yang baik, semestinya dapat memastikan kelayakan kredit baik, akses kepada syarat pinjaman yang menguntungkan, peluang memperluaskan perniagaan, dan kestabilan kewangan secara keseluruhan.

 

Masyarakat wajar memahami bahawa manfaat daripada laporan agensi pelaporan kredit mejangkaui aspek pemberian pinjaman dan urusan perniagaan.

 

Agensi ini juga menyumbang kepada kecekapan keseluruhan sistem kewangan dengan memberi penekanan kepada ketelusan dan akauntabiliti. Melalui penilaian objektif kelayakan kredit, agensi-agensi ini dapat memupuk dan memperkukuhkan kepercayaan dan keyakinan dalam ekosistem kewangan, di samping menyumbang kepada urusan kewangan yang lebih lancar sekaligus menyuburkan pertumbuhan ekonomi.

 

Malah, laporan kredit juga memainkan peranan penting dalam memerangi penipuan dan jenayah kewangan. Sebagai ‘amaran awal’ terhadap aktiviti yang mencurigakan, dan ketidakteraturan sejarah kredit, laporan ini membantu mengenal pasti risiko dan menghindar penipuan.

 

Ini bukan sahaja melindungi pemberi pinjaman, bisnes dan individu  daripada kerugian kewangan, malah dapat melindungi integriti sistem kewangan secara keseluruhan.

 

Walaupun kes mahkamah terbaharu ini telah membawa kritikan kepada agensi berkenaan, namun kita perlu faham ‘terdapat dua perspektif pada setiap isu’ – kritikan yang ditujukan tidak akan memadam manfaat yang dibawa oleh perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi ini kepada pelbagai bisnes dan individu. 

 

BACA: CTOS rayu keputusan mahkamah tiada kuasa beri skor kredit, melangkaui fungsi 

 

Akses kepada maklumat kredit yang komprehensif membolehkan mereka membina kredibiliti dengan pembekal, mendapat pembiayaan, dan memperluas operasi mereka.

 

Di dalam persekitaran bisnes yang kompetitif, sejarah kredit yang positif sudah pasti akan memberi akses kepada sumber-sumber penting dan membuka peluang pertumbuhan bisnes. 

 

Mungkin saya kurang memahami mengapa mahkamah telah mengambil keputusan yang tidak berpihak kepada agensi pelaporan kredit dalam kes yang saya sebutkan tadi.

 

Namun, menyalahkan laporan agensi pelaporan kredit kerana individu sendiri gagal bertanggungjawab dalam urusan kewangan, adalah sekadar memindahkan kesalahan dan mencerminkan sikap tidak mahu menerima kelemahan sendiri.

 

Sebaliknya, puncanya termasuk kecuaian pengurusan perbelanjaan, bayaran lewat berterusan, dan mengabaikan hutang – kesemuanya merupakan gejala ketidakbertanggungjawaban kewangan. 

 

 

wainuiomata

 

 

Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab terhadap kedudukan kewangan sendiri. Agensi pelaporan kredit menyediakan perkhidmatan penting dengan menilai risiko dan mengetengahkan ketelusan kewangan.

 

Daripada menyalahkan agensi-agensi ini, bukankah lebih baik kita menganggap laporan kredit mereka sebagai ‘amaran awal’.

 

Di samping itu masyarakat juga perlu mengutamakan disiplin kewangan dan akauntabiliti persendirian agar dapat memperbaiki status kredit dan kewangan masing-masing.  - DagangNews.com