Harga produk Kawan Food naik antara 7% ke 8% akibat kenaikan kos bahan mentah | DagangNews Skip to main content

Harga produk Kawan Food naik antara 7% ke 8% akibat kenaikan kos bahan mentah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - CGS-CIMB Research menyatakan bahawa Kawan Food Berhad terpaksa menaikkan harga jualan antara 7% ke 8% sejak 1Q2022 dalam usaha menyerap kenaikan kos bahan mentah yang merupakan 45% hingga 50% daripada jumlah kos pada FY2021.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu percaya bahawa tindakan itu akan menyokong perkembangan margin keuntungan mereka pada FY2022F.

 

"Kumpulan itu juga tidak menolak akan terus berlaku kenaikan harga sekiranya kos bahan mentah terus meningkat berbanding kadar semasa.

 

"Antara bahan mentah yang sudah dibeli adalah tepung untuk kegunaan sehingga penghujung 2Q2022 dan majerin untuk digunakan hingga penghujug 1Q2022," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sudah memohon seramai 400 pekerja baharu daripada kerajaan dalam usaha meningkatkan kadar operasinya berbanding hanya sekitar 55% pada 2021.

 

"Kami memahami bahawa Kawan memiliki sekitar 350 pekerja, iaitu kombinasi pekerja tetap dan kontrak.

 

kawan

 

"Sekiranya mereka berjaya mendapatakan kesemua 400 pekerja, Kawan menyasarkan untuk mengoptimakan penggunaan pekerja kontrak dalam usaha untuk meningkatkan margi keuntungan mereka," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menyasarkan unjuran pendapatan sebanyak RM300 juta dan ia akan disokong oleh pelanggan sedia ada serta pelanggan baharu.

 

"Mereka menjangkakan untuk mendapatkan tiga pelanggan baharu yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang akan menyumbang pendapatan sebanyak RM20 juta yang menyamai 7.9% pendapatan FY2021 dan 41.5% unjuran perkembangan pendapatan pada FY2022F.

 

kawan

 

"Kumpulan itu juga merancang untuk melancarkan lebih banyak produk termasuk produk berasaskan tumbuhan dan ia dijangka menjadi pemacu kepada peningkatan jualan bagi segmen hotel, restoran dan kafe (Horeca)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' untuk saham Kawan dengan harga sasaran RM2.50 dengan jangkaan pendapatan daripada segmen eksportnya akan meningkat namun dibayangi kenaikan harga kos bahan mentah. - DagangNews.com